
Gambar tular dalam Facebook mendakwa dua kanak-kanak yang disyaki didera sedang makan bersama keluarga di sebuah restoran di Air Itam, Pulau Pinang.
Polis menahan dua wanita masing-masing berumur 28 dan 52 tahun dan menyelamatkan dua kanak-kanak dipercayai mangsa dera setelah menerima laporan seorang lelaki pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Pulau Pinang Asisten Komisioner Soffian Santong berkata suspek yang ditahan adalah ibu dan nenek saudara kepada kedua-dua kanak-kanak berkenaan.
Menurutnya polis menerima laporan daripada orang awam kira-kira jam 8 pagi tadi (27 Mei) di Balai Polis Air Itam berkaitan satu hantaran di Facebook menunjukkan gambar dua kanak-kanak sedang makan di restoran dengan kesan kecederaan di muka.
“Pengadu membuat laporan polis kerana mengesyaki kedua-dua kanak-kanak berkenaan mungkin mengsa penderaan.
“Bertindak atas maklumat, kira-kira jam 11.15 pagi sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah telah membuat serbuan dan pemeriksaan di sebuah rumah flat di kawasan Air Itam.
“Polis berjaya menyelamatkan dua kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dan lelaki tiga tahun.
“Dalam serbuan itu juga dua suspek wanita warga tempatan iaitu ibu dan nenek saudara mangsa telah ditangkap bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Soffian berkata pemeriksaan awal pada tubuh badan kedua-dua mangsa telah menjumpai kesan luka dan lebam pada muka dan badan disyaki akibat penderaan.
“Kedua-dua mangsa dirujuk ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut, dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Timur Laut di talian 04-2182822 atau mana-mana balai polis berhampiran.