
Lima penunggang motosikal maut dan dua lagi cedera dalam nahas di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dipercayai terbabit dalam lumba haram pada 17 Julai 2022.
Polis mengesahkan empat pelumba haram maut, manakala tiga lagi parah dalam nahas di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di Pulau Pinang, awal pagi tadi.
Tiga daripada mangsa maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) di Georgetown.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17; Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19; Mohd Syazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22; dan Muhamad Eizreel Muhamad Roszadi, 25.
Beliau berkata mangsa yang cedera parah pula ialah Mohd Haziq Harris, 34; Muhammad Rahimi Shukor, 19; dan Muhammad Shazwan Hafiz Mohd Abdul Sani, 22.
“Pihak polis menerima laporan berhubung kemalangan itu pada 4.30 pagi dan siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 4 pagi di kawasan lebuh raya berkenaan menghala ke pusat bandar Georgetown.
“Kemalangan melibatkan beberapa motosikal disyaki terlibat dalam kegiatan lumba haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Soffian berkata siasatan juga mendapati kemalangan itu berlaku selepas beberapa penunggang motosikal terbabit dipercayai hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.
Beliau berkata dua buah kereta turut dirempuh dari arah belakang oleh kumpulan itu.
“Setakat ini, tujuh mangsa telah dikenal pasti terlibat dalam kemalangan berkenaan. Empat disahkan maut iaitu tiga meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang meninggal dunia di HPP ketika menerima rawatan,” katanya sambil menambah semua mangsa berasal dari Pulau Pinang dan Kedah.
Soffian juga berkata mangsa yang cedera masih menerima rawatan di HPP.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis menasihati orang ramai agar tidak melibatkan diri dalam aktiviti lumba haram kerana bukan sahaja boleh membahayakan nyawa sendiri malah keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.