
Polis telah mengambil keterangan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung kenyataannya mengenai kavadi.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai mengesahkan pihak polis telah mengambil keterangan daripada Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung kenyataan dibuatnya mengenai kavadi.
Menurutnya rakaman percakapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Negeri Sembilan itu, dirakam semalam.
“Polis merakam kenyataannya semalam dan akan merujuk kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya secepat mungkin,” katanya menurut FMT.
Minggu lalu, sayap bersekutu Bersatu membuat laporan polis terhadap Mohamad kerana didakwa mengeluarkan kenyataan tidak sensitif kepada masyarakat Hindu.
Ketua penerangannya S Gobi Krishnan berkata laporan terhadap bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dibuat kerana kegagalannya mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh 24 jam atas kenyataan dibuat.
Dalam wawancara dengan Asia Times, baru-baru ini, pemimpin UMNO itu dikatakan merujuk kepada kavadi sebagai “beban” dalam menggambarkan kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 lalu.
Gobi berkata membawa kavadi adalah untuk menunaikan ikrar seseorang dan sebagai tanda terima kasih kepada Dewa Muruga semasa perayaan tahunan Thaipusam.
Beliau menuduh Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, sebagai tidak menghormati sensitiviti masyarakat Hindu.