Polis rakam keterangan Tajuddin

Polis Daerah Dang Wangi hari ini menyoal siasat bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Selasa lalu.

Pengarah Pilihanraya UMNO itu dilihat tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dengan menaiki kereta Mercedes Benz berwarna perak kira-kira jam 4.45 petang tadi.

Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, memaklumkan Tajuddin akan hadir hari ini untuk diambil keterangan berhubung tindakannya melanggar SOP PKP dalam satu sidang media.

Siasatan polis dilakukan selepas tular rakaman video sidang media Tajuddin yang hanya mengenakan pelindung muka tanpa memakai pelitup muka.

Susulan itu, polis membuka satu kertas siasatan, mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkutan) 2021.

Ia bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan seterusnya, sama ada dikenakan kompaun atau dituduh di mahkamah.

Semalam, Kementerian Kewangan memecat Ahli Parlimen Pasir Salak daripada jawatan Pengerusi Prasarana selepas tular tingkah laku tidak bersesuaian beliau dalam mengendalikan sidang media nahas dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) di ibu negara pada Selasa.

Selain tidak memakai pelitup muka, Tajuddin juga dituduh gagal dan tidak mempunyai perasaan sensitif atau empati terhadap mangsa tragedi LRT, sekali gus membuktikan beliau sama sekali tidak layak menduduki kerusi Pengerusi Prasarana.

Terdahulu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, turut hadir ke IPD Dang Wangi hari ini untuk dirakam keterangan sebagai saksi bagi membantu siasatan polis.

BERITA BERKAIT
POPULAR