Polis Pulau Pinang pantau e-skuter

Polis Pulau Pinang menjalankan pemantauan secara berkala berhubung penggunaan e-skuter di negeri itu terutama di sekitar George Town, bagi mengelak pelanggaran undang-undang.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata setakat ini pihaknya dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) tidak mengeluarkan sebarang lesen kepada pengendali aktiviti e-skuter di negeri itu.

“Anggota polis yang menjalankan pemantauan telah memberi amaran dan nasihat kepada pengendali skuter elektrik sewaan dan orang ramai agar tidak melakukan apa-apa kegiatan atau aktiviti yang boleh membawa kepada perkara yang melanggar peraturan dan kesalahan lalu lintas.

“Kami bimbang ia akan mendatangkan bahaya ke atas nyawa mereka sendiri dan keselamatan pengguna jalan raya yang lain, malah diingatkan bahawa penggunaan e-skuter adalah atas tanggungjawab mereka sendiri,” katanya seperti dilaporkan Bernama, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas klip video tular di media sosial yang mendakwa sekumpulan remaja menunggang e-skuter secara berbahaya di Lebuh Pantai, dekat sini dalam kejadian pada 2.24 pagi, beberapa hari lalu.

Mohd Shuhaily berkata buat masa kini, e-skuter adalah dilarang di atas jalan raya dan ia merupakan kesalahan mengikut Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Polis juga katanya mengingatkan penyewa mengenai Seksyen 3(1) APJ 1987 yang memperuntukkan mana-mana orang dilarang menggunakan kenderaan mikromobiliti tertentu di atas mana-mana bahagian jalan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau berkata pihak polis mengambil beberapa alternatif bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang teruk ketika waktu puncak dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke Jambatan Pulau Pinang selepas menerima aduan orang ramai.

Katanya antaranya alternatif itu ialah menempatkan anggota trafik di lampu isyarat dan beberapa lokasi lain bagi melancarkan perjalanan dan memastikan pengguna jalan raya dapat sampai ke rumah sebelum waktu berbuka puasa sepanjang Ramadan ini.

“Menurut statistik polis, anggaran kenderaan di Jambatan Pulau Pinang ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan sebaliknya ketika waktu puncak (6.30 pagi hingga 9 pagi dan 5 petang hingga 8 malam) ialah 20,000 hingga 30,000 kenderaan.

“Kesesakan turut berlaku dari bulatan Bayan Baru hingga ke Teluk Kumbar dan sebaliknya dengan waktu puncaknya dari 7,000 hingga 8,000 kenderaan,” katanya sambil menasihatkan pengguna jalan raya memandu secara berhemah.

BERITA BERKAIT
POPULAR