Polis perjelas video tular konvoi VIP tak beri laluan ambulans

Selepas tular video konvoi orang kenamaan (VIP) semalam yang tidak memberi laluan kepada ambulans di Hulu Langat, pihak polis tampil memberikan penjelasan berhubung isu tersebut.

Pihak polis mengakui konvoi VIP semalam yang tular adalah melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama rombongan kereta yang panjang di Hulu Langat.

Terdahulu, tindakan konvoi VIP tersebut menerima kecaman orang ramai kerana tidak memberi laluan kepada ambulans milik Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia sebaliknya diarahkan berhenti kerana mahu memberi laluan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Supt Azman Shari’at, berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 11.30 pagi semalam di persimpangan jalan di Hulu Langat.

Katanya selepas membuat penilaian berkenaan barulah anggota polis yang bertugas mengarahkan ambulans terbabit – serta sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4) – berhenti.

Berdasarkan penilaian, kata Azman, jika kenderaan terbabit tidak diarah berhenti dan diberi keutamaan, ia akan mewujudkan risiko kemalangan dan membahayakan pengguna lain di jalan raya berkenaan.

“Ini memandangkan jarak pendahulu konvoi (lead vehicle) yang telah tiba hampir ke persimpangan berkenaan.

“Tindakan mengatasi trafik tersebut telah diambil oleh anggota trafik berkenaan selaras dengan peruntukan mengikut Kaedah Lalu Lintas No 9 LN 166/1959 dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri semalam hadir di Hulu Langat untuk melihat sendiri kerja-kerja pembersihan dan membantu mangsa banjir dari Taman Sri Nanding yang ada di Masjid al-Mustaqim di Batu 16 Hulu Langat.

Konvoi itu diiringi anggota polis trafik.

Kebanyakan netizen menganggap dalam keadaan begitu sepatutnya ambulans diberi keutamaan berbanding rombongan orang kenamaan.

Azman berkata polis sentiasa memberi keutamaan kepada kenderaan kecemasan khususnya ambulans dan kereta bomba.

Namun katanya dalam keadaan yang ditunjukkan melalui klip video semalam, jika anggota trafik di persimpangan itu memberi keutamaan kepada ambulans dan kenderaan 4×4 terbabit keluar dari persimpangan ke jalan utama, ia akan mewujudkan risiko.

“Oleh yang demikian konvoi di jalan utama diberi keutamaan laluan bagi mengelak kemalangan, selain mengambil kira penilaian awal yang dilaksanakan anggota trafik berkenaan,” katanya.

Tambah Azman sebaik saja konvoi terbabit melepasi persimpangan tersebut anggota trafik yang bertugas mengambil langkah segera dengan memberi keutamaan laluan kepada ambulans serta kenderaan 4×4 berkenaan.

“Polis sentiasa peka dan komited dalam memberi keutamaan kepada kepentingan awam, khususnya apabila penugasan melibatkan keselamatan pengguna jalan raya dan kenderaan kecemasan terutama ambulans dan bomba,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR