
Ikon permotoran ditahan pihak polis.
Pendakwah bebas popular yang ditahan di Kuala Selangor kerana didakwa merogol seorang gadis berusia 14 tahun turut disiasat polis Perak, kata Ketua Polis Negeri Datuk Mior Faridalathrash.
Menurutnya kertas siasatan telah dibuka kerana terdapat satu laporan di negeri itu.
“Jabatan siasatan jenayah polis negeri sedang menyiasat perkara itu sekarang.
“Ada kemungkinan kami akan membawanya ke sini untuk siasatan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan polis negeri di pangkalan latihan Unit Udara Polis di Ipoh, hari ini (20 Julai).
“Dia kini ditahan reman selama lima hari oleh polis Selangor,” katanya lagi.
Pendakwah itu dilaporkan ditahan pada Isnin (18 Julai) di ibu pejabat polis Kuala Selangor dan kini direman sehingga 23 Julai.
Empat kertas siasatan membabitkan lelaki itu telah dibuka termasuk di Perak.
Semalam, polis Selangor menahan penceramah terbabit kerana disyaki merogol seorang remaja bawah umur berusia 14 tahun.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi Subramaniam berkata suspek berusia 30-an itu ditahan di Kuala Selangor pada jam 4.50 petang.
“Kebenaran reman itu diperoleh dari Mahkamah Majistret Sungai Besar bagi membolehkan siasatan lanjut ke atas suspek dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.
Untuk rekod, seseorang lelaki boleh dituduh dan disabitkan dengan hukuman merogol jika hubungan kelamin di antara lelaki dan seorang perempuan di bawah umur 16 tahun, walaupun dengan persetujuan perempuan tersebut. Ini juga dikenali sebaggai “statutory rape”.