
Wanita yang didakwa membawa ajaran yang mengajak rakyat Malaysia keluar mencari Imam Mahdi.
Polis akan memanggil individu yang terbabit dengan ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) bagi membantu siasatan lanjut, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
Menurutnya pihak polis telah mengenal pasti individu terbabit dan sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap ajaran itu.
Katanya polis juga memantau rapi ajaran berkenaan selain memastikan perkara itu tidak akan menyebabkan kegusaran awam dan keadaan adalah terkawal.
“PDRM tidak boleh terburu-buru dalam melakukan siasatan kerana perlu mengumpul maklumat lengkap serta siasatan juga melibatkan jabatan lain antaranya jabatan berkaitan agama Islam.
“Kita ada cara, teknik dan kaedah tertentu untuk menghadapi perkara ini, dahulu kita pun hadapi perkara sama seperti ini dan kita dapat selesaikan dengan baik…polis tidak pernah leka dan sentiasa memantau perkara ini.
“Kalau kita lihat sejarahnya ini bukan perkara baharu, sebelum ini kita juga pernah berdepan dengan perkara seperti ini dan kita atasi daripada semasa ke semasa,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.
Pada majlis itu Datuk Hazani Ghazali, yang dilantik Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman berkuat kuasa Isnin ini, menyerahkan tugas kepada Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu, Datuk Idris Abdullah.
Majlis sama turut menyaksikan Acryl Sani memakaikan pangkat Komisioner Polis (CP) kepada Idris yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan Perjawatan), Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman.
Beberapa hari lalu tular di media sosial seorang wanita dengan gelaran Sittah Annur dikaitkan dengan ajaran sesat PMYT mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah dan memimpin pasukannya bagi mencari imam Mahdi untuk melawan musuh.
Wanita itu turut membuat beberapa dakwaan pelik termasuk menceritakan mimpinya yang terakhir ditunjukkan suasana di Makkah. Dia juga mendakwa bertemu dengan Malaikat dan Rasulullah SAW.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata KDN tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap individu dan pengikut ajaran terbabit jika dakwaan itu mencetuskan rasa takut dalam masyarakat.
Pada masa sama, Hazani pula mengesahkan tiada pengikut ajaran sesat PMYT dikesan di Sabah dan gerakan itu menurutnya banyak bertumpu di Semenanjung.
“Kena fahamkan dakwaan terdapat 3,000 pengikut ajaran ini, (jumlah) ini merupakan mereka yang mengikuti atau ‘follower’ individu itu di media sosial seperti Facebook juga WhatsApp, ada beza dengan mereka yang betul-betul terlibat dengan ajaran itu,” katanya.