
Klip video TikTok 'makcik goreng pisang' memancing Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkaitan minyak masak paket bersubsidi.
Polis sudah merakam percakapan seorang Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebuah parti pembangkang di Perak berhubung video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya mengenai isu kenaikan harga minyak masak.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata proses siasatan ke atas lelaki berkenaan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
“Kita boleh sahkan memang ada siasatan dijalankan oleh pegawai USJT JSJ Bukit Aman dan mereka menggunakan lokasi di IPD Ipoh untuk merakam percakapan subjek (individu),” katanya hari ini.
Sebelum ini, satu klip video TikTok yang tular di media sosial bertujuan ‘memancing’ Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkaitan minyak masak paket bersubsidi dikatakan menerbitkan petikan video untuk memutarbelitkan kenyataan Perdana Menteri (PM).
‘Makcik Goreng Pisang’ yang menyiarkan sebahagian petikan video kenyataan Ismail Sabri disebarkan menerusi akaun media TikTok milik seorang pemimpin politik yang telah dikenal pasti oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata pihaknya telah meminta MCMC mengambil tindakan susulan mengikut saluran dan peraturan biasa.
“… saya percaya ahli Parlimen semuanya mengikuti dengan baik (jawapan PM semalam) dan ahli Parlimen semua tentunya gembira dengan penjelasan yang jelas diberikan oleh PM… ini (TikTok) dibuat oleh mereka yang bukan ahli Dewan Rakyat,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.
Kelmarin, ketika menjawab soalan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tindakan kerajaan dalam menangani ketirisan subsidi yang turut dinikmati warga asing dan golongan kaya di Dewan Rakyat, Ismail Sabri berkata minyak masak paket adalah untuk kegunaan domestik tetapi terdapat peniaga termasuk peniaga kecil yang turut menggunakannya.