
Polis hari ini menafikan menahan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor seperti yang dilaporkan malam ini.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Skandaguru Anandan dalam satu kenyataan berkata tiada mana-mana polis yang bertindak seperti dilaporkan portal Astro Awani.
“Polis menafikan laporan berita yang menyatakan Menteri Besar Kedah sementara, Datuk Seri Mohd Sanusi Mohd Nor ditahan atau dipanggil untuk dirakam percakapan hari ini.
“Tiada pihak dari Bukit Aman, peringkat Kontinjen Kedah atau Ibu Pejabat polis Daerah di Kedah yang melakukan tindakan seperti Yang dilaporkan portal berita berkenaan,” katanya.
Hari ini, Astro Awani melaporkan sumbernya memaklumkan Muhammad Sanusi ditahan polis petang tadi.
Sehubungan itu, polis menuntut Astro Awani membuat permohonan maaf dan menarik balik berita yang disiarkan itu.
“Tindakan mengeluarkan berita tidak sahih sedemikian boleh mendatangkan rasa panik kepada masyarakat, lebih-lebih lagi dalam senario kempen PRN yang sedang berlangsung.
“Laporan polis akan dibuat bagi membolehkan siasatan dimulakan ke atas penyebaran berita palsu tersebut,” katanya.