Polis Melaka terima laporan berhubung penyokong Rauf berkumpul

Polis Melaka menerima dua laporan berhubung tindakan calon membawa penyokong di dua pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Razali Abu Samah berkata laporan membabitkan kejadian di Dewan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Tanjung Bidara di sini melibatkan sekumpulan penyokong Barisan Nasional (BN) yang mengiringi calonnya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Kompleks Komuniti Desa (KKD) Telok Mas di Melaka Tengah.

“Terdapat antara 20 hingga 25 penyokong yang berkumpul kira-kira 100 meter dari pusat-pusat penamaan calon berkenaan namun disuraikan anggota polis yang bertugas.

“Arahan penyelarasan tugas telah dikeluarkan bahawa laporan polis hendaklah dibuat kepada mana-mana pihak yang membawa penyokong di pusat penamaan calon,” katanya lapor Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa meninjau proses penamaan calon di Dewan Kompleks Japerun Tanjung Bidara di sini hari ini.

Dewan Kompleks Japerun Tanjung Bidara menjadi lokasi pencalonan bagi kerusi yang dianggap ‘panas’ N02 Tanjung Bidara, membabitkan Rauf daripada BN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dari Perikatan Nasional (PN) dan Zainal Hassan dari Pakatan Harapan (PH).

Terdahulu, tular gambar Rauf bersama penyokong bekas Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak yang mengiringinya ke pusat penamaan calon.

Sementara Kompleks Komuniti Desa Telok Mas di Melaka Tengah, merupakan lokasi berlangsungnya pencalonan bagi kerusi DUN Telok Mas (N 23) membabitkan pertandingan empat penjuru iaitu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dari PN, Muhammad Ariff Adly Mohammad (Bebas), Datuk Ashraf Mukhlis Minghat (PH) dan Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (BN).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon manakala tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas, susulan empat Ahli DUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita.

BERITA BERKAIT
POPULAR