Polis Melaka siasat video tular bungkusan makanan terselit wang RM50

Polis Melaka menafikan penyebaran gambar bantuan bungkusan makanan yang diselitkan bersama wang tunai RM50 mempunyai kaitan dengan aktiviti meraih undi melibatkan parti politik sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Azlan Abu berkata sebaliknya berdasarkan siasatan yang dijalankan, bungkusan makanan itu merupakan bantuan makanan kepada warga emas dan kejadian dilaporkan berlaku di luar Melaka.

“Hasil semakan Polis Melaka, terdapat sebuah video berkenaan kejadian itu menunjukkan agihan bantuan makanan dan wang tunai RM50 kepada orang-orang tua, namun tidak terkesan sebarang aktiviti meraih undi atau apa-apa lambang atau elemen parti politik di dalam kandungan video tersebut.

“Sehingga kini pihak polis tidak menerima sebarang laporan dibuat berkenaan kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan lapor Bernama hari ini.

Semalam tular di media sosial tentang beberapa bungkusan makanan diselitkan wang tunai RM50 setiap satu dan keterangan gambar mendakwa ia berlaku di Melaka serta terdapat komen mengatakan program bantuan itu berunsurkan politik dan bertujuan meraih undi.

Azlan berkata satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebarkan berita palsu atau tidak sahih yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata individu yang mempunyai maklumat atau mengetahui tentang kejadian tersebut diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Insp Md Assyukri Saini di talian 016-7530492 bagi membantu siasatan lanjut.

“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih demi kepentingan sendiri kerana tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR