Polis Melaka siasat klinik disyaki palsukan keputusan ujian Covid-19

Polis Melaka menerima dua laporan berhubung sebuah klinik swasta di Melaka Tengah, disyaki terlibat dalam kegiatan pemalsuan keputusan ujian saringan Covid-19, kata Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

Sehubungan itu beliau berkata pihaknya sedang menyiasat dan akan menubuhkan satu jawatankuasa teknikal antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi meneliti isu berkenaan sebelum merujuknya kepada pihak perundangan.

“Kita di peringkat awal siasatan iaitu mengambil keterangan dan merakam percakapan daripada tiga pihak termasuk KKM selain akan melihat sama ada keputusan ujian saringan Covid-19 itu terdapat kesilapan sistem atau disengajakan.

“Kita telah kenal pasti dan setakat ini ia hanya membabitkan satu klinik swasta berkenaan yang masih beroperasi, dan seterusnya kita akan cari bukti terlebih dahulu mengenai perkara ini dan jika kukuh kita akan panggil pihak berkenaan,” katanya hari ini.

Sebelum ini media melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata pihaknya menerima aduan melibatkan sebuah klinik swasta yang telah memalsukan keputusan Kit Ujian Pantas (RTK) daripada positif kepada negatif.

Perbuatan itu terbongkar apabila pihaknya menerima seorang pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka selepas kesihatannya merosot.

Sementara itu menurut Bernama, Abdul Majid berkata Polis Melaka akan mempertingkatkan kawalan di sempadan negeri ini susulan pihaknya mendapat makluman mengenai Orang Kena Tahan (OKT) Abdul Hamim Ab Hamid,32, dikenali sebagai “Long Tiger” yang melarikan diri ketika menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Majistret Tangkak, Johor.

“Di pihak Kontinjen Melaka kita akan mengerakkan pasukan Op Cantas untuk membuat kawalan dan risikan sekiranya suspek itu masuk ke negeri ini,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR