Polis Malaysia, Singapura tangkap 15 anggota dua sindiket antarabangsa

Polis Malaysia dan Singapura melumpuhkan dua sindiket penipuan antarabangsa serta menahan 15 suspek dalam beberapa siri serbuan di Johor, Kuala Lumpur dan republik ini.

Serbuan dilakukan antara Isnin (6 Disember) dan Jumaat (10 Disember) oleh Jabatan Hal Ehwal Komersial dan tujuh bahagian Pasukan Polis Singapura (SPF) serta Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sindiket itu didakwa melakukan penipuan pekerjaan dan penipuan simpanan tetap, kata SPF dalam satu kenyataan semalam, sambil mendedahkan sindiket itu berjaya mengaut keuntungan lebih SGD1.5 juta (RM4.63 juta) daripada lebih 100 mangsa.

Memetik laporan The Straits Times (ST) Singapura, suspek yang ditahan berusia antara 17 dan 44 tahun, merangkumi 13 lelaki dan dua wanita dengan lapan ditangkap di Malaysia manakala tujuh lagi di Singapura.

Daripada 15 suspek itu, lapan ditangkap di Malaysia manakala selebihnya di Singapura.

Menurut laporan itu mereka yang ditahan di Singapura dipercayai bertanggungjawab mengendalikan sindiket jenayah itu dengan urusan pemindahan wang menerusi bank, mengeluarkan dana atau memberikan akaun bank mereka kepada sindiket penipuan dengan bayaran tertentu.

Siasatan menunjukkan kedua-dua sindiket itu menyasarkan warga Singapura dan Malaysia serta membersihkan wang hasil penipuan haram itu di Malaysia, kata polis.

Sementara itu, SPF berkata sejak Oktober tahun ini, mereka mengesan kaedah baharu penipuan pekerjaan yang menyasarkan rakyat Singapura.

ST melaporkan sindiket jenayah itu menyiarkan iklan pekerjaan menawarkan pulangan wang tunai segera menerusi media sosial berbeza dan menghubungi mangsa melalui aplikasi mesej sebelum menawarkan pekerjaan palsu.

Mangsa yang kebanyakannya pencari kerja, dikehendaki membantu meningkatkan jualan dalam talian dengan membeli atau menjual produk tertentu di portal dikendalikan sindiket, lapor ST.

Anggota sindiket itu juga meminta mangsa melengkapkan tugasan seperti meningkatkan ‘penarafan’ atau maklum balas produk.

Mangsa kemudian akan diminta mendaftar akaun dalam talian yang dikawal oleh penipu, sebelum meminta mereka menambah wang tunai dalam akaun mereka untuk melaksanakan tugas. Sebagai balasan, mangsa akan dijanjikan komisen antara 0.6 peratus dan 20 peratus.

Laporan itu menyebut mangsa akan diberikan akaun bank milik individu tidak dikenali untuk pembayaran deposit.

Pada mulanya, sindiket akan membayar balik pelaburan mangsa bersama komisyen yang dipersetujui, tetapi sindiket terbabit akan mula memperdayakan mangsa dengan mengesyorkan pelaburan lebih besar bagi meraih lebih banyak komisen.

Mangsa akhirnya akan mendapati mereka telah ditipu apabila mereka tidak dapat mengeluarkan wang daripada akaun, kata polis.

Polis mengingatkan pencari kerja supaya berhati-hati dengan iklan pekerjaan yang menjanjikan gaji tinggi untuk tugasan yang agak mudah.

“Perniagaan yang sah tidak akan memerlukan pencari kerja menggunakan akaun bank mereka sendiri untuk menerima wang bagi pihak perniagaan atau membuat bayaran pendahuluan untuk mendapatkan tawaran kerja dan memperoleh komisen,” kata SPF, dalam kenyataan itu.

Timbalan Pengarah Kumpulan Penyiasatan Kewangan (CAD), Ian Wong berkata penipuan adalah jenayah serius yang semakin menjadi kebimbangan.

“Sindiket jenayah transnasional akan menyasarkan anda jika anda tidak berhati-hati dan percaya bahawa janji komisen tinggi untuk kerja minimum, atau kadar faedah tinggi untuk simpanan tetap, adalah tulen,” katanya. – ST

BERITA BERKAIT
POPULAR