Polis lengkapkan kertas siasatan suami bekas Gabenor

Pihak polis sedang dalam proses melengkapkan kertas siasatan melibatkan suami kepada bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang memberitahu pihak polis akan menyerahkan kertas siasatan apabila lengkap kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

Azam menjelaskan siasatan berhubung penglibatan suami Zeti, Datuk Tawfiq Ayman dijalankan oleh pihak polis dan bukan SPRM kerana agensi tersebut diberi tanggungjawab mendapatkan semula dana 1MDB dari Singapura.

“Dalam siasatan melibatkan kes 1MDB ini, pasukan petugas antaranya melibatkan polis dan SPRM (telah diwujudkan). Untuk Tawfiq, tugas yang diberi kepada SPRM adalah untuk mendapatkan semula wang (1MDB) dari Singapura.

“Polis (yang) jalankan siasatan (terhadap Tawfiq). Saya rasa kertas siasatan mereka masih dibuat (dalam proses), polis akan kemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) apabila ia siap,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, seorang saksi dalam perbicaraan dana 1MDB yang sedang berjalan di Amerika Syarikat, Tim Leissner mendedahkan 1MDB telah melabur AS$1 bilion dalam projek usahasama dengan PetroSaudi.

Leissner yang juga bekas pegawai bank Golman Sachs, dalam keterangannya menyebut mengenai rasuah yang membabitkan suami bekas gabenor Bank Negara berhubung projek usaha sama PetroSaudi – 1MDB.

Ujarnya, bagi transaksi keluar masuk wang jumlah itu, mereka memerlukan kelulusan daripada Bank Negara dan kelulusan itu perlu dilakukan dalam masa yang singkat.

“AS$1 bilion disalurkan dalam waktu yang singkat ke Malaysia kepada usaha sama itu dan ia telah dilakukan kerana suami kepada gabenor Zeti (Akhtar Aziz) di Bank Negara ketika itu telah menerima rasuah untuk melaksanakannya,” kata Leissner.

Leissner juga berkata, beliau mendengar melalui Roger Ng bahawa 1MDB  melabur AS$1 bilion dalam projek usaha sama itu.

Menurut Leissner, pada 2009 Malaysia masih mempunyai kawalan modal, yang memerlukan pelaburan sebesar itu untuk diluluskan oleh BNM dari segi wang yang keluar negara.

Saksi itu mendakwa dana itu disalurkan dalam waktu yang singkat  dan ia  dilakukan kerana suami gabenor BNM ketika itu  menerima rasuah untuk melaksanakannya.

Roger Ng atau nama sebenarnya Ng Chong Hwa, 49, kini berada di New York selepas diekstradisi pada Mei 2019 untuk berdepan pertuduhan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) berhubung skandal 1MDB. 

Susulan itu, Tawfiq dalam satu kenyataan  baru-baru ini berkata, beliau terkejut dengan keterangan yang dibuat Leissner pada perbicaraan kes bekas pegawai bawahan lelaki itu, Roger Ng di Mahkamah Tinggi Brooklyn di New York, seperti dilapor media.

“Saya ingin menyatakan secara mutlak bahawa sepanjang hidup, saya tidak pernah menerima sebarang rasuah daripada sesiapa. Oleh kerana prosiding kes masih berjalan di New York, saya  dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang ulasan lanjut kerana ia mungkin menjurus kepada subjudis,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan Tawfiq melalui firma guaman yang mewakilinya, Tetuan Jagjit Ariff & Co.

BERITA BERKAIT
POPULAR