Polis lanjut tempoh diskaun saman hingga 31 Disember

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melanjutkan tempoh tawaran diskaun saman kesalahan trafik sehingga 31 Disember ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Lanjutan tempoh itu dibuat susulan PDRM menerima sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai yang menyambut baik tawaran berkenaan, katanya.

Sehubungan itu, katanya semua kaunter trafik di seluruh Ibu Pejabat Polis Daerah dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri dibuka serentak dengan tawaran diskaun saman yang sama.

“Sebelum ini, kaunter trafik PDRM di KLCC terpaksa ditutup kerana kepadatan orang awam bayar saman.

“Perkara ini memberi cabaran besar kepada PDRM untuk mengawal selia orang ramai dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk memastikan penjarakan fizikal pengunjung dipatuhi.

“Dalam tempoh empat hari pelaksanaan tawaran diskaun itu diadakan PDRM mengutip kira-kira RM109 juta,” katanya pada sidang media setelah meninjau pameran sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di KLCC, hari ini.

Acryl Sani berkata sehingga jam 12 tengah hari tadi sebanyak 2.3 juta saman trafik diselesaikan di seluruh negara.

Katanya, pembukaan serentak kaunter trafik di seluruh negara untuk tujuan itu bagi bagi memudahkan orang ramai mengambil kesempatan menjelaskan saman tanpa perlu bersesak-sesak.

Acryl berkata tawaran diskaun bayaran saman antara inisiatif PDRM bagi meringankan beban masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 menjelaskan saman mereka.

BERITA BERKAIT
POPULAR