Polis kepung tokong, 18 individu serah diri

Polis mengesahkan sudah menahan 24 individu berkaitan rusuhan di hadapan sebuah tokong di Bandar Salak Selatan, Jalan Sungai Besi sejak Selasa lalu hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata 20 daripada individu terbabit, termasuk enam wanita ditahan semalam dan Rabu, setelah empat lelaki berusia 18 hingga 50 tahun ditahan pada hari kejadian.

Menurutnya dalam operasi semalam juga polis terpaksa mengepung tokong berkenaan untuk melakukan tangkapan sebelum 18 individu menyerah diri.

“Pada jam 1.30 pagi semalam, polis mengepung kawasan kejadian untuk membuat tangkapan. Pihak tokong menyerah diri dan menyerahkan surat permohonan maaf kepada polis. Berikutan itu, kita menahan 12 lelaki dan enam wanita.

“Polis juga menahan dua lelaki pada jam 8.30 malam kelmarin bagi membantu siasatan. Daripada semua tahanan hari ini dan semalam, dua sudah dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor usia.

“Permohonan reman dibuat ke atas baki 18 suspek dan hanya 10 direman sehari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Idzam berkata, kertas siasatan yang lengkap sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini dengan cadangan pertuduhan mengikut Seksyen 148, 186 dan 353 Kanun Keseksaan.

Katanya, turut dicadangkan pertuduhan mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021, berikutan suspek melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berkumpul di tempat awam.

“Polis menafikan terdapat tindakan untuk merobohkan mana-mana tokong dalam kejadian itu, susulan dakwaan satu video tular di media sosial.

“Kita menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran serta menggugat ketenteraman awam,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, kira-kira 30 individu dikatakan membantah tindakan Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur mahu membina laluan ke kawasan pembinaan sebuah sekolah berhampiran tokong terbabit.

Satu operasi dijalankan PTG Kuala Lumpur untuk mendirikan pagar penghadang, bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah dan bukan meroboh binaan.

Dalam operasi itu, pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras hadir bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi. Ketika operasi dijalankan, terdapat sekumpulan lelaki dan wanita membawa kayu dan besi membantah tindakan itu.

Kumpulan ini menghalang dan merosakkan jentolak, selain menyerang anggota polis yang bertugas di tempat kejadian.

BERITA BERKAIT
POPULAR