Polis buru ‘safieillias94’, ‘pipinatasha’ berkomunikasi lucah, seksual

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan mengesahkan polis sedang memburu dua pemilik akaun Instagram dikenali sebagai 'safieillias94' dan 'pipinatasha'.

Polis sedang memburu dua pemilik akaun Instagram ‘safieyillias94’ berhubung dakwaan berkomunikasi secara lucah dan melakukan perbuatan amang seksual terhadap kanak-kanak bawah umur.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata kejadian itu dikatakan berlaku ketika pemilik Instagram berkenaan mengadakan sesi perbualan dan sidang video secara langsung disertai pengguna Instagram bernama ‘pipinatasha’ dan dua kanak-kanak bawah umur.

“Polis menerima laporan daripada seorang pensyarah universiti pada jam 1.29 tengah hari tadi, yang melihat insiden berkenaan melalui pautan Instagram secara langsung milik ‘safieyillias94’.

“Pengguna Instagram ‘pipinatasha’ juga didakwa berpakaian seksi selain bersama ‘safieyillias94’ menunjukkan cara menghisap vape kepada kanak-kanak terbabit,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Mohd Zaid berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 12(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

Terdahulu tular klip video berkaitan di media sosial memperlihatkan kedua-duanya menunjukkan cara-cara menghisap vape kepada dua kanak-kanak berusia 14 dan 15 tahun ketika sidang video kira-kira jam 1.50 pagi.

Sesetengah nitezen turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap golongan sedemikian yang semakin berleluasa menunjukkan kehidupan songsang mereka di media sosial.

POPULAR