Polis buru ejen video judi raya

Loh Kee Hoe berumur 35 tahun dikehendaki polis.

Polis sedang memburu seorang lelaki dipercayai bertindak sebagai ejen kepada pembikinan dua video judi raya secara dalam talian yang tular di media sosial sejak beberpa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata lelaki berusia 35 tahun itu dikehendaki kerana terbabit dalam menyebar video mempromosikan perjudian dalam talian.

“Terbaharu, kita telah menahan seorang suspek yang kita percaya boleh membantu siasatan dalam kes tersebut. Kita ada maklumat seorang lelaki bernama Loh Kee Hoe berumur 35 tahun, kita percaya boleh membantu siasatan,” katanya hari ini.

Beliau berkata, dua daripada lapan individu yang ditahan di sekitar ibu kota berkaitan klip video itu direman mulai hari ini hingga 21 April.

“Enam orang lagi kita tidak dapat tahan reman kerana ditolak oleh Majistret. Mereka ini hanyalah pelakon, mereka berikan kerjasama dan peguam mereka berjanji untuk beri kerjasama apabila diperlukan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) dan Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.