
Himpunan di pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Jumaat (19 Mei 2023).
Kertas siasatan sudah dibuka berhubung himpunan membantah penarikan rayuan kes kalimah Allah di pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Jumaat.
Pihak polis berkata himpunan tiada permohonan atau notis oleh penganjur dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Ramsay Anak Embol berkata, pihaknya sudah mengenalpasti pihak terlibat dalam himpunan tersebut dan akan diambil keterangan.
“Polis tidak menerima sebarang permohonan atau notis pemakluman anjuran demonstrasi bantahan terbabit.
“Kita buka kertas siasatan dan individu yang terlibat telah dikenal pasti untuk tindakan lanjut termasuk proses rakam keterangan dalam masa terdekat,” katanya dipetik laporan media.
Sebelum itu, himpunan kira-kira jam 2 petang itu disertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan puluhan orang ramai selepas selesai solat Jumaat semalam.
Demonstrasi yang dikawal ketat pihak polis itu bagaimanapun berjalan lancar tanpa insiden tidak diingini berlaku.
Perhimpunan itu antaranya menuntut proses perbicaraan terus dijalankan dan isu berkenaan diselesaikan tanpa campur tangan politik.
Isnin lalu, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) membantah sekeras-kerasnya tindakan Kerajaan Perpaduan menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘ALLAH’ dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka.
Setiausaha Agungnya, Mohd Aswanizam Alias berkata, tindakan keputusan unilateral kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa merujuk dan berunding dengan pemegang taruh utama melibatkan isu umat Islam ini juga boleh dianggap melampau dan boleh mencetuskan keadaan yang tidak baik dalam negara.