
Polis akan mengambil keterangan Ahli Parlimen DAP Kepong kerana mendakwa tiga anggota polis melakukan pemerasan.
Ahli Parlimen Kepong daripada DAP, Lim Lip Eng akan dipanggil oleh polis bagi membantu siasatan berikutan dakwaannya yang mengatakan tiga anggota polis melakukan pemerasan terhadap dua individu di Jalan Besar Kampung Melayu, Kepong, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dakwaan itu dibuat Lip Eng pada jam 4.50 petang menerusi sidang media dan siasatan dibuat selepas berita mengenainya dikongsi menerusi aplikasi WhatsApp.
Dalam satu kenyataan malam tadi, beliau berkata, sehingga kini polis tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berhubung kejadian pemerasan yang didakwa berlaku pada jam 6.45 pagi.
“Ahli Parlimen itu serta dua individu terbabit dalam kejadian tersebut akan dipanggil bagi membantu siasatan.
”Polis memandang serius dakwaan itu dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap tiga anggota tersebut jika kejadian salah laku didapati benar-benar berlaku,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Noramalina Md Jamil di talian 017-3185868 atau Bilik Gerakan IPD Sentul 03-40482206.