PN tidak akan dibubar, kerja lebih kuat: Muhyiddin

Kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak akan menyebabkan Perikatan Nasional (PN) dibubarkan, malah mereka akan bekerja lebih kuat dan memperbaiki kelemahan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PN itu berkata akan kekal dengan prinsip penubuhannya dan tidak akan sama sekali kembali bergabung dengan mana-mana parti lain termasuk UMNO demi mempertahankan asas pembentukannya untuk menawarkan suatu bentuk parti mendukung kerajaan dengan lebih baik.

“Minta maaf. Kami berpegang kepada prinsip ketelusan, integriti, menentang rasuah dan salah guna kuasa.

“Itu menjadi dasar perjuangan kita. Sebab itu bagi saya, berada di sini, kita akan terus beristiqamah, bergabung bersama dan bekerja lebih kuat supaya kita akan jadi pencabar utama kepada Barisan Nasional (BN),” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PN malam ini lapor Bernama.

Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata demikian sebagai mengulas dakwaan ada pihak meminta beliau membubarkan Bersatu dan kembali bersama UMNO.

Katanya, keberadaan PN dalam arena politik negara yang menawarkan perubahan ke arah lebih baik adalah bagi membolehkan rakyat mempunyai satu lagi pilihan untuk dipertimbangkan.

“Itu bagi saya penting, bukan soal peribadi saya atau soal apa kerana kita berpendapat, pembentukan Bersatu dan Gabungan PN suatu perkembangan politik sihat dalam sistem demokrasi berparlimen,” katanya.

Keputusan PRN Melaka kali ini menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi 21 kerusi dan sekaligus memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.

BERITA BERKAIT
POPULAR