
Perikatan Nasional (PN) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam dan keji oleh tentera rejim Zionis Israel.
Perikatan Nasional (PN) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam dan keji oleh tentera rejim Zionis Israel yang telah beberapa kali menceroboh pekarangan Haram Al-Sharif dan melakukan serangan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin di Masjid Al-Aqsa semenjak beberapa hari lalu.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tindakan tentera Zionis Israel tersebut yang dilakukan di saat ini merupakan perbuatan keji dan tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi dilakukan pada bulan Ramadan yang mulia ini.
“Perbuatan biadab rejim Zionis tersebut juga telah dilakukan hanya sehari selepas Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHRC) meluluskan usul A/HRC/52/L.32 yang ditaja Malaysia mengenai hak rakyat Palestin dan penempatan haram Israel di tanah air Palestin.
“Justeru, kerajaan Malaysia tidak boleh berdiam diri dan perlu terus melakukan segala yang upaya untuk menekan institusi antarabangsa, sama ada melalui saluran PBB ataupun Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya campur tangan bagi menghentikan kekejaman dan jenayah Israel serta membebaskan semua tahanan Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini (8 April 2023).
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu berkata serangan keterlaluan dan provokatif ini memberi kesan serius terhadap keselamatan dan kestabilan di rantau Asia Barat dan menjejaskan sebarang usaha memulihkan proses damai.
Menurutnya laporan media menyatakan bahawa keganasan yang sama berlaku pada bulan Ramadan pada tahun 2021 dan 2022.
“Peningkatan keganasan terhadap rakyat Palestin ini jelas melanggar undang-undang antarabangsa. Ketegangan antara Israel dan Palestin telah mencapai titik didih sejak beberapa hari kebelakangan ini.
“Adalah wajar bahawa PBB semasa mengecam serangan itu, meningkatkan usaha untuk mempertanggungjawabkan Israel atas kelakuannya yang tidak boleh diterima.
“Sebagai anggota UNHRC bagi sesi 2022-2024, Malaysia perlu lebih lantang dan berperanan dalam mendesak supaya tindakan segera diambil bagi menghentikan pencerobohan dan membantu rakyat Palestin yang telah secara berterusan dizalimi dan dinafikan hak mereka,” kata Presiden Bersatu itu.