PN janji kembalikan Johor ke zaman kegemilangan: Muhyiddin

Johor mampu kembali menjadi negeri terkehadapan dalam pelbagai sektor, termasuk pembangunan ekonomi, agrikultur, pelancongan dan sebagainya jika Perikatan Nasional (PN) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Mac ini.

Sehubungan itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bangsa Johor wajar memberi peluang dan kepercayaan kepada PN untuk mengembalikan negeri itu ke zaman kegemilangannya.

Serentak itu beliau memberi jaminan akan menjadikan Johor lebih baik daripada sekarang sekiranya mampu membentuk kerajaan negeri selepas PRN ini.

Katanya komitmen PN adalah untuk merangsang pertumbuhan semula ekonomi Johor, menggalakkan pelaburan di negeri itu, menyediakan pekerjaan, meringankan beban kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan rakyat seperti yang terkandung dalam Ikrar PN Untuk Johor.

Beliau menekankan pentingnya nilai integriti dan amanah dalam kepimpinan kerajaan kerana hanya pemimpin yang berintegriti dan beramanah dapat memacu kemajuan negeri dan negara, tanpa sebarang ketirisan, pembaziran, dan penyelewengan.

“Barulah rakyat dapat merasa erti pembangunan, kemajuan dan kestabilan yang sebenar,” katanya pada Majlis Dialog Bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Menteri-Menteri Berkaitan Ekonomi di Pulai Spring Resort, Kulai, hari ini.

Muhyiddin yang pernah menjadi Menteri Besar Johor selama 10 tahun berkata negeri itu mempunyai potensi besar untuk dimajukan tetapi tidak digilap sebaiknya ketika ini.

“Johor ini adalah sebuah negara yang berpotensi tinggi untuk dimajukan, saya arif tentang ini kerana pernah menjadi Menteri Besar hampir 10 tahun kira-kira 30 tahun yang lalu.

“Saya boleh beri jaminan sekiranya PN mampu membentuk kerajaan negeri yang baharu, dengan berbekalkan nasihat dan pengalaman yang dimiliki, kita akan jadikan Johor lebih baik daripada sekarang dari pelbagai aspek mencakupi bidang ekonomi, sosial dan budaya,” katanya.

Hadir sama Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Seorang tetamu yang hadir pada Majlis Dialog Bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Menteri-Menteri Berkaitan Ekonomi di Pulai Spring Resort, Kulai, hari ini, bertanya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin apa jaminan PN akan berlaku adil kepada semua kaum.

Menjawab soalan seorang tetamu pada majlis itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi MPN berkata:

“Rekod saya sebagai Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional, saya tidak pernah bertanya apa kaum orang yang menerima vaksin, bakul makanan dan pelbagai bentuk bantuan dan pakej rangsangan ekonomi yang keseluruhannya berjumlah RM530 bilion. Semua dibantu dan dilayan secara adil dan saksama.

“Prinsip Perikatan Nasional sebagai sebuah kerajaan yang berintegriti, cekap dan prihatin ialah membantu semua rakyat tanpa mengira kaum. Tiada seorang pun yang akan dibiarkan ketinggalan walau apa kaum dan agamanya. Ini komitmen saya dan PN.”

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berharap, langkah pemulihan perlu disegarakan termasuk pembukaan sempadan agar ekonomi di negeri ini akan semakin pulih.

Menurutnya, Johor adalah negeri yang paling terkesan akibat langkah menutup sempadan sehingga menjejaskan kelangsungan hidup penduduk rakyat negeri itu yang berulang-alik bekerja di Republik Singapura sebelum ini.

Pengerusi Perikatan Nasional yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara berucap pada Majlis Dialog Bersama Pengerusi MPN dan Menteri-Menteri Berkaitan Ekonomi di Pulai Spring Resort, Kulai, hari ini, 5 Mac 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR