PN anjur Gerai Prihatin Rakyat, bantu hadapi kenaikan harga barang

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penganjuran Gerai Prihatin Rakyat akan dijalankan bagi membantu rakyat menghadapi kenaikan harga barang yang semakin tinggi ketika ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata gerai tersebut akan dikendalikan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang akan menjual barangan keperluan harian pada harga murah di seluruh negara.

“Ahli Majlis Tertinggi PN dan Naib Presiden Bersatu, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, dipertanggungjawabkan untuk mengetuai jawatankuasa di peringkat nasional bagi menganjurkan Gerai Prihatin Rakyat ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu bagi menangani isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan secara lebih berkesan, Muhyiddin turut mencadangkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Kabinet untuk menangani isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang akan meneliti langkah-langkah segera yang perlu diambil dalam meringankan beban rakyat pada waktu sukar ini.

“Saya mengikuti dengan dekat perkembangan semasa berkenaan isu kenaikan harga barang di Malaysia terutamanya barang makanan.

“Data terkini daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) bagi pengeluaran tempatan meningkat sebanyak 12.3 peratus pada September 2021, berbanding sembilan peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

“Ini akan menyebabkan peningkatan inflasi untuk beberapa bulan akan datang yang tentunya akan membebankan pengguna,” katanya lagi.

Muhyiddin berkata, beliau memandang serius isu kenaikan harga barang yang pada hematnya akan menjejaskan proses pemulihan negara.

Katanya, ketika ini, rakyat baru mula dapat menarik nafas lega selepas sektor ekonomi dibuka semula, namun kini terbeban dengan masalah kenaikan harga barang.

“MPN sudah meneliti kesan ke atas keupayaan sektor ekonomi untuk bangkit pulih sebaik ekonomi negara dibuka semula terutamanya dari sudut ketidakupayaan penawaran (supply) untuk memenuhi permintaan (demand) yang boleh menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan,” katanya.

Dalam hal ini, beliau berkata, MPN turut memberi tumpuan pada isu kekurangan tenaga kerja, yang meruncing dalam pelbagai sektor dan masalah kecairan (liquidity) dihadapi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Katanya, MPN menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas berkenaan isu tenaga kerja bagi mengenal pasti langkah penyelesaian segera yang boleh dipertimbang dan dilaksanakan oleh kerajaan.

“Jawatankuasa yang diterajui Kementerian Sumber Manusia dan dianggotai pelbagai agensi ini, akan membentangkan laporan dan cadangan penyelesaian kepada MPN dalam mesyuarat yang akan datang,” katanya.

Selain itu katanya, MPN turut menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas berkenaan isu kekangan aliran tunai dan pembiayaan bagi PMKS untuk mencari penyelesaian segera isu kecairan yang dihadapi dalam tempoh pemulihan ini.

Katanya, langkah itu dijangka dapat membantu PMKS memulakan perniagaan atau operasi dengan segera, sekali gus meningkatkan keupayaan penawaran.

“Jawatankuasa ini yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi juga akan membentangkan laporan dan cadangan penyelesaian kepada MPN,” katanya.

Beliau berharap menerusi semua jawatankuasa yang dibentuk, agensi penguat kuasa akan terus melipatgandakan usaha penguatkuasaan untuk memastikan pengeluar, pembekal dan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga pada kadar yang tidak munasabah.

Katanya, tindakan undang-undang yang tegas akan diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 terhadap mereka yang ingkar.

BERITA BERKAIT
POPULAR