
Anwar dan Zahid bergandingan membentuk kerajaan campuran.
Sebanyak RM1 bilion peruntukan tambahan diumumkan kepada kerajaan Negeri Sembilan akan disalurkan kerajaan pusat.
Peruntukan tambahan itu diumumkan Perdana Menteri (PMX) Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia Madani yang diadakan hari ini dengan umum mengetahui Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin dekat.
PM berkata ia menjadikan keseluruhan jumlah peruntukan pembangunan disediakan Kerajaan Pusat khusus untuk Negeri Sembilan berjumlah RM1.27 bilion, berbanding lebih RM200 juta yang diperuntukkan sebelum ini, menurut laporan BH.
Peruntukan pembangunan itu merangkumi projek membina jalan dan jambatan baharu, infrastruktur pendidikan, pembinaan rumah ibadah serta menaiktaraf Klinik Kesihatan daif.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Terdahulu, Anwar yang tiba pada majlis itu jam 11 pagi, menyantuni orang ramai yang sudah mula memenuhi gerai-gerai menyediakan pelbagai juadah istimewa hari raya.
Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani ini adalah yang ketiga dihadiri Perdana Menteri selepas di Kedah selain di Pulau Pinang semalam yang turut dianjurkan pihak kerajaan negeri.
Tiga lagi majlis sama akan berlangsung pada Jumaat, Sabtu dan Ahad depan di Kelantan, Terengganu serta Selangor, juga dijadual dihadiri Anwar.
Aminuddin dalam ucapan menyifatkan kehadiran Anwar begitu dinanti dan ia juga memeriahkan lagi suasana majlis yang diadakan setahun sekali itu.