
Pejabat pentadbiran kerajaan Malaysia di Putrajaya.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) memandang serius tindakan mana-mana pihak yang secara sengaja menyalahgunakan nama atau kedudukan pejabat itu bagi tujuan tertentu.
PMO dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan sedemikian adalah amat tidak bertanggungjawab sekali gus memberi dampak negatif kepada kredibiliti Pejabat Perdana Menteri dan institusi Kerajaan, menurut laporan Bernama.
“Justeru, pihak Pejabat Perdana Menteri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut termasuk melibatkan sudut perundangan terhadap pihak yang terlibat dengan perkara sedemikian,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, media melaporkan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong mendakwa terdapat syarikat menggunakan nama PMO untuk membersihkan namanya daripada isu kartel telur.
Semasa berbahas di Dewan Rakyat, Ka Siong memaklumkan beliau telah dihubungi oleh seorang individu yang menuntutnya untuk membuat satu kenyataan berhubung kenyataannya di Parlimen tentang kemasukan telur import.
“Saya hendak beritahu di Dewan ini, saya harap saya tidak akan diugut lagi. Terima kasih kepada Yang Dipertua kerana memberi surat pada saya, ini surat untuk wakil rakyat. Siapa yang berucap dalam Dewan ini terlindung dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 63 dan saya salah seorangnya.
“Semalam pada pukul 9.51 pagi saya menerima panggilan daripada seorang nama Deepak yang mendakwa dirinya mewakili JNE Advance Tech Sdn. Bhd., mengatakan beliau telah bincang dengan JPM untuk saya buat satu kenyataan dan kita selesaikan luar mahkamah.
“Saya tidak rasa ini adalah daripada perdana menteri, mereka hanya gunakan nama JPM dan pada saya isu ini harus kita ambil perhatian,” katanya di Dewan Rakyat.