PM umum peruntukan RM69.9 juta bantu pekebun kecil, penoreh

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan berjumlah RMM69.9 juta yang akan disalurkan tahun ini bagi menjaga kebajikan pekebun kecil dan penoreh getah negara yang akan berdepan kesulitan semasa musim tengkujuh nanti.

Peruntukan dibawah program Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) itu akan dimanfaatkan hampir kira-kira 232,319 orang pekebun kecil dengan kadar RM600 seorang yang akan dibayar dua kali pada Disember 2021 dan Januari 2022.

“Prihatin dengan nasib pekebun kecil getah yang menjadi tulang belakang industri getah negara, kerajaan sekali lagi memperuntukkan BMT bagi bayaran 2021,” katanya lapor Bernama.

Muhyiddin menghadiri majlis Penyampaian Dividen (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) 2021 hari ini.

Muhyiddin berkata tahun lepas kerajaan memberikan BMT untuk pekebun kecil dan penoreh getah melibatkan peruntukan RM129.8 juta dan Bantuan Khas Covid-19 dengan peruntukan berjumlah RM64 juta.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga berkata pihak kerajaan sudah satu skim yang dikenali Skim Insentif Lateks (SIL) yang melibatkan pemberian input pertanian, penyelenggaraan kebun serta insentif upah penoreh pada kadar RM500 sehektar.

Perdana menteri berkata skim berkenaan diperkenalkan bertujuan menggalakkan pekebun kecil menghasilkan lateks dan meningkatkan pendapatan sebanyak 30 peratus berbanding penghasilan skrap.

Sementara itu, bagi membantu industri sawit yang kekurangan tenaga kerja mahir akibat terkesan dengan pandemik COVID-19, kerajaan melalui FELCRA Berhad sejak September tahun lepas telah berusaha mewujudkan peluang pekerjaan sebagai Operator Penuaian kepada Modal Insan Tempatan di seluruh negara.

Selain itu, pihak kerajaan juga akan memperluaskan skop Bantuan Tanam Semula Getah dalam usaha untuk membantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan menerusi penanaman getah melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan RISDA.

Muhyiddin berkata pekebun kini boleh membuat permohonan untuk tanah kosong atau tanah selain ditanam getah dan keluasan tanah yang melayakkan bantuan itu adalah minimum 0.1 hektar hingga maksimum 5.0 hektar.

“Usaha ini bukan sahaja dilihat kepada peningkatan ekonomi pekebun kecil malah kerajaan menyasarkan pengeluaran getah negara dapat ditingkatkan dengan memastikan keluasan tanaman getah kepada 1.1 juta hektar serta mengurangkan tanah terbiar yang tidak diusahakan,” katanya.

POPULAR