PM umum Jawatankuasa Khas Kabinet lindungi golongan rentan

April 23, 2022 · Isu semasa

Jawatankuasa Khas Kabinet Melindungi Golongan Rentan ditubuhkan bagi melindungi kebajikan golongan rentan khususnya kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), wanita dan warga emas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata jawatankuasa yang dipengerusikannya sendiri itu dianggotai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM); Kementerian Dalam Negeri (KDN); Kementerian Pendidikan (KPM); Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Kementerian Kesihatan (KKM); Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), lapor Bernama.

Katanya jawatankuasa itu akan memastikan semua pusat jagaan yang beroperasi diurus mengikut prosedur dan peruntukan di bawah Akta Pusat Jagaan 1993.

“Dalam hal yang sama, jawatankuasa ini juga akan melihat operasi institusi pengajian agama seperti pusat tahfiz yang tidak berdaftar dan yang tidak diurus dengan baik,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu Ismail Sabri melawat remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella di Rumah Kebajikan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini.

Turut hadir Menteri KPWKM Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Perdana Menteri berkata jawatankuasa itu juga melihat isu berkaitan ketiadaan dokumen pengenalan diri yang boleh menjejaskan masa depan golongan kanak-kanak terlibat.

“Jawatankuasa ini juga akan melihat akta-akta lapuk yang dilihat perlu dipinda. Ini akan kita buat kajian supaya pembelaan dapat diberikan,” katanya.

Dalam lawatannya itu, Ismail Sabri berkata Bella dalam keadaan baik, mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan boleh menguruskan dirinya sendiri dengan baik.

“Pada hari ini saya berpeluang untuk berjumpa dengan adik Bella di tempat yang selamat di bawah jagaan JKM, Bella ditempatkan di sini sejak 5 Julai tahun lepas.

“Dalam pemerhatian saya tadi, saya dapati emosi Bella dalam keadaan normal, tiada lagi gangguan emosi seperti ketika dia mula masuk ke sini. Malah kecederaan, luka dan sebagainya telah pulih,” katanya.

Ismail Sabri berkata Bella juga membawanya melawat bilik dorm di pusat jagaan itu serta memperkenal rakan-rakannya.

Beliau berkata kerajaan memandang serius kejadian yang menimpa Bella yang didakwa didera dan diabaikan sejak tahun 2020.

“Kes anak istimewa ini sedang dibicarakan di mahkamah dan semua pihak perlu menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan. Kejadian yang menimpa adik Bella ini merupakan salah satu daripada beberapa kes yang berlaku tetapi tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Dalam pada itu Ismail Sabri turut menasihatkan seluruh rakyat yang mengikuti perkembangan Bella agar memberi kepercayaan penuh kepada mahkamah untuk membuat penentuan dalam kes melibatkan remaja itu.

“Dalam kes Bella ini perkara ini telah dibawa ke mahkamah, oleh itu adalah sub judice kalau dibincangkan perkara itu secara terbuka, kita serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan. Kalau kita terlampau memberi komen, kita boleh dianggap sebagai mengganggu perjalanan perbicaraan mahkamah dan dianggap sub judice,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata setakat ini terdapat 1,898 pusat jagaan berdaftar di bawah JKM dan daripada jumlah itu 1,255 adalah Pusat Jagaan Kanak-Kanak, Pusat Jagaan OKU (202), Pusat Jagaan Warga Emas (383), Pusat Jagaan Wanita (10) dan pelbagai (48).

Katanya kerajaan turut mengesan terdapat 1,025 pusat jagaan yang beroperasi tanpa mendapat kelulusan perakuan pendaftaran JKM.

Selain itu sebanyak 4,384 institusi pengajian agama yang berdaftar di seluruh negara termasuk 1,208 maahad tahfiz swasta dan 272 sekolah pondok dan madrasah.

“Bagaimanapun dilaporkan terdapat lebih 1,000 institusi pengajian agama termasuk pusat-pusat tahfiz tidak berdaftar dengan pihak berkuasa agama kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri,” katanya.

Ismail Sabri berkata kerajaan tidak mahu insiden kebakaran yang meragut nyawa 21 pelajar dan dua guru di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada 14 Sept 2017 dan kejadian kebakaran di Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Al-Khairiah Al-Halimiah, di Kampung Padang Lumut, Yan, Kedah, yang mengorbankan 27 pelajar perempuan pada 1989, berulang.

“Bagi membendung kes penderaan dan kecuaian yang melibatkan golongan rentan ini, kerajaan menyeru seluruh Keluarga Malaysia agar lebih prihatin dan mengamalkan sikap ambil peduli dengan melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Ismail Sabri berkata JKM juga akan distruktur semula agar lebih efisyen.

Berita berkaitan
Lelaki intai wanita di tandas pasar raya ditahan polis
October 23, 2023· Isu semasa
Pemuda MCA gesa kerajaan tangani kos sara hidup, syor perkenal GST
October 21, 2023· Politik
Ditipu pelaburan tak wujud, juruaudit rugi RM1.48 juta
October 12, 2023· Isu semasa
Kes bunuh warga emas, empat lelaki dituduh di mahkamah
October 10, 2023· Isu semasa
Popular
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Kembalikan deria bau
November 9, 2021
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024
Iklan ‘duit raya’ GDBET333 dinyahaktif
April 16, 2021
Lagi Isu semasa terkini
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Polis terima satu lagi laporan bom petrol dilempar ke KK Mart
March 30, 2024 · Isu semasa
Senjata api dimiliki warga Israel dibekal warga tempatan: Polis
March 30, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok