PM umum bantuan baharu kepada mangsa banjir seluruh negara

Kerajaan melanjutkan lagi beberapa inisiatif baharu menerusi kerjasama agensi dan sektor perbankan, sebagai tambahan kepada bantuan yang diberikan kepada mangsa banjir di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beberapa agensi kerajaan dan sektor perbankan akan melaksanakan beberapa inisiatif bagi meringankan beban rakyat dan perniagaan terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terkesan akibat banjir.

Dalam kenyataan malam tadi beliau berkata bantuan itu termasuk:

1. Bantuan bayaran balik pinjaman untuk mangsa-mangsa banjir bagi pinjaman perumahan dan hartanah, kenderaan, kad kredit serta pinjaman peribadi sehingga enam bulan. Antara kemudahan termasuk penangguhan atau pengurangan bayaran balik ansuran.

2. Pembiayaan Kewangan Peribadi tanpa faedah sehingga RM5,000 oleh Bank Simpanan Nasional (BSN). RM100 juta diperuntukkan bagi tujuan ini untuk meringankan beban mangsa-mangsa banjir membeli peralatan dan kelengkapan rumah yang musnah akibat bencana.

Moratorium enam bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan dan terbuka kepada mangsa- mangsa banjir di seluruh negara.

3. TEKUN Nasional pula mengkhususkan dana berjumlah RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir Pembiayaan bagi PKS mikro yang terkesan. Bagi pinjaman sehingga RM10,000, tiada kadar faedah dikenakan dan moratorium bayaran balik diberikan untuk 12 bulan.

4. Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah mengumumkan kemudahan pembiayaan sebanyak RM200 juta yang disediakan untuk PMKS yang terjejas melalui Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (DRF 2022).

Perdana Menteri berkata BNM juga sedang berusaha untuk menambah peruntukan ke atas DRF 2022 yang diumumkan baru-baru ini, daripada RM200 juta kepada RM500 juta berdasarkan keperluan semasa.

“Kesemua inisiatif di atas ini adalah lanjutan daripada bantuan kerajaan yang telah saya umumkan sebelum ini termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah, bagi membantu meringankan beban Keluarga Malaysia yang terkesan akibat banjir,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR