PM tak terkesan kecaman isu pengeluaran KWSP, sindir Najib dan Asyraf

Kecaman dan desakan individu tertentu berhubung isu pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak akan memberi kesan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam meneruskan usaha membantu rakyat yang terjejas akibat bencana banjir.

Perdana Menteri (PM) tidak menamakan individu yang mendesaknya berhubung isu pengeluaran KWSP, namun diketahui umum Datuk Seri Najib Razak dan pengikut setianya yang juga Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang lantang membangkitkan isu tersebut.

“… yang tidak berpuas hati, mengecam akan terus berasa begitu di media sosial. Masing-masing ada tugas masing-masing.

“Saya harap kita semua tidak terkesan dengan serangan yang dibuat kerana kita menjalankan tanggungjawab… biarkan.. dan (ini) tidak akan menyekat saya daripada terus bekerja,” katanya dipetik dalam satu program di Temerloh.

Ismail Sabri terdahulu menyampaikan sumbangan Misi Bantuan Banjir Keluarga Malaysia, yang merangkumi wang ihsan RM1,000 daripada kerajaan Persekutuan dan RM500 daripada kerajaan Pahang, serta barangan keperluan kepada 600 ketua isi rumah terjejas banjir di Dewan MPT Dataran Datuk Bahaman di Lanchang, Temerloh hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menekankan pentadbirannya memberi tumpuan kepada usaha mencari penyelesaian jangka panjang masalah banjir secara menyeluruh bagi mengurangkan risiko dan jumlah lokasi terjejas akibat bencana itu pada masa depan.

Jelasnya perkara itu menjadi agenda utama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat sebaik sahaja operasi pascabanjir selesai, dan ia melibatkan kerajaan negeri, kementerian dan agensi kerajaan serta pakar dalam bidang berkaitan khususnya dalam aspek pengairan dan saliran.

“Kita akan cari dan bincangkan apa sahaja modul yang sesuai digunakan untuk menyelesaikan masalah ini, dan jika ia tidak boleh dilaksanakan secara serentak di Malaysia, fokus akan diberikan di daerah atau kawasan berisiko tinggi banjir.

“Rancangan jangka panjang memerlukan kos yang besar tetapi ia membantu mengurangkan kos dikeluarkan kerajaan setiap kali banjir dan setakat ini, kita telah membelanjakan RM1.4 bilion untuk bantuan sahaja, dan jumlah ini dijangka bertambah kerana kita belum menerima laporan penuh kerosakan,” katanya lagi.

Ismail berkata rancangan penyelesaian jangka panjang itu pernah dibincangkan semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional, namun ia tidak diteruskan.

Menurutnya antara yang boleh dilakukan bagi mengurangkan masalah banjir ialah membina lebih banyak binaan tebatan banjir, mendalamkan sungai dan tali air seperti di Kedah serta membina terowong yang dilengkapi pengurusan banjir seperti Terowong SMART di ibu negara di kawasan bandar berisiko seperti di Shah Alam, Selangor.

“Bagi kawasan rendah yang kerap dilanda banjir, kita boleh lihat semula rancangan penempatan semula banjir yang pernah dilaksanakan sekitar tahun 1970-an. Ini perlu dibincangkan dengan kerajaan negeri untuk mengenal pasti kawasan tinggi yang sesuai manakala kerajaan Persekutuan boleh membantu dari segi peruntukan,” katanya.

Ismail berkata modul luar negara juga boleh dipertimbangkan jika sesuai dilaksanakan di Malaysia, seperti konsep ‘sponge city’ di China yang membantu memperlahankan aliran banjir atau ‘river dikes’ yang dilakukan di Belanda.

Sementara itu Perdana Menteri turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan serta orang persendirian yang bukan hanya menghulurkan bantuan semasa banjir, malah juga terus membantu dalam operasi pascabanjir.

BERITA BERKAIT
POPULAR