PM tak kata negara hampir bankrap: Majlis Gurdwara Malaysia

Presiden Majlis Gurdwara Malaysia Jagir Singh

Majlis Gurdwara Malaysia menafikan sekeras-kerasnya laporan sebuah laman berita kewangan berbahasa Inggeris bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia hampir bankrap.

Presidennya, Jagir Singh berkata apa yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri ialah negara terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak melebih RM600 bilion berikutan pandemik Covid-19.

“Perbelanjaan yang besar seperti itu menyebabkan wang yang kerajaan miliki sekarang tinggal sedikit.

“Ini amat berbeza daripada apa yang disebut ‘negara hampir bankrup’,” katanya mengulas laporan yang memutarbelit kenyataan Muhyiddin ketika majlis Hi Tea sempena sambutan Hari Vaisakhi 12 April lalu.

Katanya, tajuk laporan itu ‘PM umum negara hampir bankrap’ yang ditulis laman berita berkenaan sebenarnya lari daripada konteks yang hendak disampaikan oleh Perdana Menteri.

Laman berita kewangan itu yang beroperasi sejak 2006 dilihat lebih condong kepada kumpulan berhaluan kiri dalam laporannya.

Laporan portal tersebut termasuk menyanggah kenyataan pemimpin kerajaan Perikatan Nasional dengan fakta yang tidak tepat.