
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meluangkan masa berkunjung ke bazar Ramadan di Presint 3 di sini bagi meninjau keadaan peniaga serta kepatuhan orang ramai kepada prosedur operasi standard (SOP).
Beliau tiba di tapak bazar pada jam 5 petang dan kehadirannya selama kira-kira setengah jam itu menarik perhatian ramai pengunjung.
Menurut laporan Bernama, Muhyiddin turut berbual dengan peniaga apabila singgah membeli juadah untuk berbuka antaranya kuih kaswi gula merah, laksa dan mi kolok.
Pemilik gerai MyTalam Kuih, Wichi Yuso, 48, berkata beliau pada mulanya tidak perasan kehadiran perdana menteri di gerainya kerana Muhyiddin memakai pelitup muka.
“Memang terkejut kerana tidak tahu perdana menteri akan singgah bazar Ramadan hari ini. Beliau beli kuih tradisional dan sempat bertanya khabar saya dan keluarga,” katanya yang menjual pelbagai kuih-muih tradisional di gerainya.
Pemilik gerai Citarasa Sarawak, Khairul Mohd pula berkata beliau tidak menyangka perdana menteri akan datang ke bazar itu hari ini.
“PM singgah beli laksa Sarawak dan mi kolok. Rasanya itu memang kesukaan beliau kerana kakak saya yang membuka gerai di Sarawak pun cakap beliau singgah makan di sana ketika lawatan kerjanya ke Sarawak baru-baru ini,” katanya.