PM nasihat belia lebih celik, cakna sistem demokrasi berparlimen

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap belia lebih celik dan cakna tentang sistem demokrasi berparlimen serta peranan sebagai pengundi muda dengan pelaksanaan Undi18, seterusnya meningkatkan jati diri menjadi warganegara bertanggungjawab menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau berkata golongan belia memainkan peranan lebih besar dalam pembentukan negara bangsa terutamanya dalam memilih pemimpin negara selaras dengan pelaksanaan Pindaan Undang-undang Perlembagaan Persekutuan.

“Jumlah pengundi belia berusia antara 21 ke 40 tahun pada 2020 ialah 6.2 juta orang iaitu 40.8 peratus daripada keseluruhan 15.3 juta pengundi berdaftar,” katanya dalam perutusan sempena Hari Belia Negara 2022 bertemakan ‘Ini Masa Kita’ yang disiarkan televisyen tempatan hari ini.

“Pada 12 Mac 2022, negara mencipta sejarah baharu apabila golongan belia julung kalinya diberi hak dan mandat untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri Johor, yang mencatat peningkatan kira-kira 28 peratus pengundi dengan penambahan hampir 750,000 pengundi berusia 18 tahun ke atas daripada keseluruhan 2.6 juta pengundi berdaftar susulan pendaftaran automatik Undi18,” katanya.

Perdana Menteri berkata penglibatan anak muda yang dilihat semakin meningkat dalam arena politik negara merupakan petanda positif serta perlu dikembangkan lebih meluas.

Menurut Perdana Menteri pemimpin belia perlu mengambil tahu dan sedar penguatkuasaan pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) yang melibatkan penurunan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun.

Katanya pelaksanaan pindaan akta itu dapat meramaikan pemimpin belia berumur di bawah 30 tahun, seterusnya memberi ruang kepada golongan itu untuk mengasah bakat kepimpinan dan mencari pengalaman sebanyak mungkin menerusi ruang yang ditinggalkan.

Sementara itu Ismail Sabri berkata penglibatan dan sumbangan generasi muda sangat diperlukan dalam memperkukuhkan semangat Keluarga Malaysia, dan untuk itu kerajaan sentiasa mengiktiraf sumbangan, pencapaian, usaha, daya bangkit dan suara seluruh warga belia.

“Malah kerajaan juga sentiasa peka dan prihatin dengan isu yang melanda golongan belia khususnya dalam menurunkan kadar pengangguran. Berdasarkan dapatan Indeks Belia Malaysia tahun 2021 bagi Domain Ekonomi, skor bagi kebolehpekerjaan ialah 42.01,” katanya.

Perdana Menteri berkata terdapat lebih 20 inisiatif yang boleh dimanfaatkan oleh golongan belia secara langsung atau tidak langsung melalui Bajet 2022, antaranya penyediaan lebih peluang pekerjaan sejajar perkembangan sektor perniagaan sekali gus menempatkan ekonomi pada landasan pemulihan yang tepat.

Selain itu inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia yang dilancarkan pada 19 Feb bertujuan membantu memperkukuhkan ekonomi belia manakala komitmen JaminKerja menjamin 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan bernilai RM4.8 bilion.

Menyedari cabaran yang bakal dihadapi pasca Covid-19 akan lebih hebat terutama dalam sektor ekonomi, Ismail Sabri berkata kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan sedang merangka Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia untuk hala tuju strategik dalam meningkatkan kebolehpasaran dan tahap ekonomi belia.

Melalui Bajet 2022, beliau berkata kira-kira RM1.2 bilion turut diperuntukkan untuk pelbagai inisiatif bagi manfaat golongan belia termasuk Program ePemula kepada dua juta belia berumur 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa di peringkat diploma atau Sijil Kemahiran Malaysia 4 (SKM4) dan ke atas di institut pengajian tinggi awam dan swasta.

Kerajaan juga menawarkan inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40 di institusi pengajian tinggi melibatkan kos RM450 juta bermula Jun ini.

“Saya percaya semua inisiatif yang disediakan ini berupaya membantu golongan belia yang terkesan akibat pendemik COVID-19 untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Mengenai tema sambutan Hari Belia Negara tahun ini, Perdana Menteri berkata ia mengingatkan rakyat betapa berharganya masa muda dan perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin, dan inilah masanya juga belia tampil melalui pelbagai peluang disediakan selari dengan konsep ‘daripada belia untuk belia’. – Bernama

BERITA BERKAIT
POPULAR