PM, Muhyiddin, Hadi ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Ahmad Sarji

August 28, 2021 · Isu semasa

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, sebagai seorang negarawan dan tokoh pentadbir perkhidmatan awam yang amat dihormati dan disegani, malah jasa baktinya akan terpahat dalam sejarah negara sampai bila-bila.

Perdana Menteri berkata bekas Ketua Setiausaha Negara itu cukup sinonim dengan pelbagai usaha mempertingkat imej dan kecekapan tadbir urus perkhidmatan awam, bahkan komited menyumbang idea dan kepakaran termasuk dalam sektor pendidikan walaupun setelah bersara.

Katanya, Allahyarham sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Majlis Raja-Raja turut memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memartabatkan syiar Islam di dalam negara.

Beliau berkata pemergian Allahyarham yang baginya adalah seorang negarawan, merupakan satu kehilangan besar buat negara.

“Salam takziah buat ahli keluarga Allahyarham atas pemergian insan tersayang dan saya doakan agar tabah menghadapi detik yang mendukacitakan ini.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan diangkat darjatnya bersama para anbia. Al-Fatihah,” katanya dalam catatan di Facebooknya hari ini.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Allahyarham merupakan tokoh pentadbir perkhidmatan awam yang amat disegani serta seorang individu yang tegas dan amat berdedikasi dalam menjalankan setiap amanah yang digalas.

“Allahyarham berani dan lantang bersuara, tegas dalam membuat keputusan, amanah dalam berkhidmat serta berdisiplin tinggi.

“Penampilannya yang sederhana serta mudah didekati menjadikan Allahyarham amat disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.

Muhyiddin berkata semasa menjawat jawatan KSN, Allahyarham dikenali sebagai tokoh yang mendukung konsep Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) bagi meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Allahyarham, yang merupakan Tokoh Maal Hijrah 1420 Hijrah menghembuskan nafas terakhir pada usia 82 tahun di sebuah hospital pada 1.40 pagi tadi dan jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah II, Bukit Kiara kira-kira 12 tengah hari tadi, selepas disolatkan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara.

Dilahirkan pada 16 Sept 1938 di Tapah, Perak, Allahyarham berkhidmat sebagai KSN dari 1990 hingga 1996 semasa era pentadbiran Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad dan merupakan tokoh pentadbir Perkhidmatan Awam negara yang amat disegani dan dihormati.

Allahyarham juga merupakan pengasas dan pengerusi pertama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 1992 dan dilantik semula ke jawatan itu pada 2019.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata pemergian Almarhum merupakan kehilangan besar buat negara melalui jasa dan bakti yang telah dicurahkan selama ini.

“Saya mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum. Semoga sabar dan tabah atas ujian ini.

“Semoga Allah mencucuri rahmat kepada Almarhum, diterima amal soleh, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya.

Berita berkaitan
Ideologi yang berbeza,hala tuju yang tidak jelas Kerajaan Perpaduan
January 1, 2024· Rencana
Teks Penuh Perbahasan Bajet 2024 Tan Sri Muhyiddin Yassin
October 18, 2023· Rencana
Pembebasan Muhyiddin: Komentar peguam yang diatur adalah songsang
October 6, 2023· Rencana
Rayuan pendakwaan terhadap keputusan mahkamah bebas Muhyiddin pada 28 Feb
September 27, 2023· Isu semasa
Popular
Ceroboh ruang udara: Malaysia kemuka bantahan, panggil Duta China
June 1, 2021
Kembalikan deria bau
November 9, 2021
Tiada bekalan telur ayam di Terengganu, mana Mat Sabu?
December 19, 2022
Tiada diskaun cukai taksiran hartanah di KL tahun ini: DBKL
January 9, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024 · Isu semasa
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024 · Isu semasa
Kata masuk pelaburan berbilion, Rafidah terkejut kilang tayar tutup
March 7, 2024 · Isu semasa
Laman akaun Facebook tak boleh diakses jutaan pengguna
March 5, 2024 · Isu semasa
Ahli Parlimen blok kerajaan juga tak setuju cukai SST dinaikkan
March 5, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok