
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Foto kredit Facebook page Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipanggil menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Pasir Pelangi hari ini bagi membincangkan berhubung isu syarat ketat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang ditetapkan baru-baru ini.
Sultan Ibrahim bertitah kepada Perdana Menteri (PM) semasa menerima menghadap tersebut agar kerajaan perlu menyegerakan semakan semula syarat ketat itu, ia memandangkan Johor antara destinasi utama pelaburan asing, selain negeri itu juga antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Johor bukan sahaja berjiran dengan Singapura, malah program MM2H adalah antara penyumbang kepada ekonomi negeri.
“Kaji semula syarat ketat yang ditetapkan sebelum ini dan kekalkan juga syarat lama dengan membuat berapa penambahbaikan supaya ia dapat memberikan imbangan positif khususnya pertumbuhan ekonomi,” titah baginda dalam hantaran di akaun rasmi Facebooknya.
Sebelum ini, Sultan Ibrahim dilaporkan menzahirkan dukacita terhadap Kementerian Dalam Negeri kerana enggan menyemak semula syarat ketat program MM2H yang ditetapkan baru-baru ini.
Pada 1 September lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilaporkan berkata, kira-kira 8,000 daripada 57,478 peserta prinsipal dan tanggungan program MM2H didapati tidak bermastautin di negara ini.
Hamzah dilaporkan sudah mengarahkan pegawainya untuk menghubungi individu terbabit bagi mengetahui hasrat mereka untuk terus berada dalam program MM2H dalam negara ini.
Sebelum itu, Hamzah berkata, kerajaan sudah melakukan penambahbaikan kepada syarat permohonan program MM2H, namun peserta sedia ada diminta tidak gusar dengan usaha yang dijalankan kerajaan itu.
Katanya, dasar kerajaan ketika ini menetapkan bilangan peserta MM2H pada satu peratus daripada jumlah populasi negara.
Dalam sesi menghadap PM pagi tadi, Sultan Johor turut membincangkan pelbagai perkara berkaitan kemajuan Johor dalam pertemuan berkenaan.
Pertemuan bersama Sultan Ibrahim turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.
Ini adalah kunjungan rasmi pertama Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera selepas mengangkat sumpah sebagai PM Kesembilan pada 21 Ogos lalu.
PM turut diraikan dalam majlis santapan tengah hari bersama Sultan Ibrahim.