PM masih ada sokongan walaupun usul kerajaan tak dapat sokongan: Tajuddin

Sokongan majoriti masih dimiliki Perdana Menteri (PM) walaupun usul dibawa kerajaan tidak dapat diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini, kata Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia (BBC) itu berkata kedudukan kerajaan masih kukuh ketika ini, ia walaupun terdapat pandangan kerajaan dipimpin Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah hilang sokongan susulan kalah dalam usul dibentangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini.

“Ada yang kata kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah jatuh, tunggu apa lagi? Pilihan raya lah.

“Saya nak jelaskan, kerajaan tidak jatuh kerana ia tidak melibatkan perkara seperti Belanjawan. Kalau Belanjawan tak lulus itu memang kerajaan terpaksa letak jawatan dan pilihan raya baharu kena buat.

“Dan ada yang menyebut MoU (memorandum persefahaman) antara kerajaan dengan pembangkang, MoU dah tandatangan, pembangkang tidak akan mengganggu gugat kerajaan khususnya Perdana Menteri,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Menurut Tajuddin, MoU yang dimerterai dengan pembangkang melibatkan perkara penting seperti Bajet yang dibentangkan oleh kerajaan dan penolakan usul yang dibawa KDN sebelum ini tidak terkandung dalam janji tersebut.

“Sebenarnya MoU yang ditandatangani itu pertama sekalinya menjanjikan mereka akan menyokong dan tidak akan menimbulkan masalah terhadap Perdana Menteri dalam perkara-perkara penting seperti Bajet.

“Tetapi usul yang seperti ini tidak boleh dikatakan pembangkang menarik sokongan daripada Perdana Menteri kerana kerjasama melalui MoU akan terus dilakukan sehingga bulan Julai. Itu pendirian yang telah diambil oleh pihak pembangkang,” jelasnya lagi.

Berhubung undian belah bahagian usul pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat baru-baru ini, Tajuddin mendakwa sebenarnya disebelah kerajaan memiliki undi mencukupi tetapi Speaker tidak mengiranya atas alasan lewat masuk dewan.

“Sebenarnya kita cukup undi. Ada tiga orang lagi yang undi dia tidak dikira sedangkan mereka ada di dalam dewan. Kenapa tiga undi tidak masuk dikira? Salah siapa?

“Kalau Speaker yang buat keputusan itu, ini agak ganjil. Di masa lalu sebelum undi diumumkan orang masuk lewat sedikitpun, undi itu diambil kira.

“Walaupun pengiraan masih berlaku, orang lewat masuk dewan pun undi diambil kira. Kali ini tidak. Kalau semua diambil kira, kita menang. Bukan 84 tetapi jadi 87 dan mungkin lebih daripada itu,” katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR