PM kena berani, jangan risau pembangkang sokong sampai PRU: Mat Sabu

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu berani dan tidak takut kedudukannya tergugat kerana blok pembangkang akan menyokongnya sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) depan, kata Mohamad Sabu.

Presiden Amanah itu mendakwa Ismail Sabri seolah menjadi tawanan individu tertentu khususnya dikalangan pemimpin UMNO daripada kluster mahkamah sehingga terpaksa tunduk terhadap tuntutan mereka dan diberikan layanan istimewa.

“Jangan jadi seperti tawanan yang dikawal oleh orang tertentu. Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sehingga kini dia (Ismail Sabri) tidak mengumumkan apa-apa.

“Apakah SOPnya? Apa yang kita ada ialah Menteri ini atau Menteri itu yang membuat pengumuman,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Untuk rekod, Ismail Sabri tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung PRN Melaka walaupun terdapat pemimpin dikalangan partinya sendiri melanggar banyak prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19.

Malah, larangan berhimpun juga dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagi menghalang sebarang aktiviti sedemikian dijalankan oleh parti politik yang akan bertanding di Melaka.

Beliau juga tidak berani menegur pemimpin atasan UMNO terutamanya bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Razak yang secara terang-terangan melakukan pelanggaran SOP dengan turun setiap minggu berjumpa orang ramai di Melaka secara berkumpulan.

Menurut Mohamad lagi, tiada guna Memorandum Persefahaman (MOU) dimerterai antara kerajaan dengan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) jika Ismail Sabri tidak bertegas dalam isu melibatkan urus tadbir kerajaan.

“Perdana Menteri mesti tunjukkan ‘kuasa’ beliau dalam menguruskan kerajaan. Jangan ada sebarang ancaman daripada mana-mana pihak. Itulah sebabnya kami menandatangani MoU supaya (Ismail) boleh kekal sehingga pilihan raya akan datang.

“Tetapi dia nampaknya tidak berani melakukan sesuatu yang berbeza untuk menyelamatkan Malaysia,” katanya lagi.

Pada 13 September lalu, PHdan kerajaan menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang berlangsung di Parlimen.

MoU berkenaan yang membentuk satu kerjasama ‘dwipartisan’ dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, mempunyai enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

BERITA BERKAIT
POPULAR