PM jumpa Zuraida minggu depan

June 16, 2022 · Isu semasa

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan beliau akan bertemu Datuk Zuraida Kamaruddin minggu depan berhubung kedudukan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu yang menukar parti baru-baru ini.

Menurutnya beliau juga akan bertemu Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas pertemuan dengan Zuraida.

“Semalam, beliau menghadiri mesyuarat Kabinet seperti biasa. Seperti yang saya katakan, jawatannya tidak akan berubah sehingga saya mengesahkan peletakan jawatannya daripada Kabinet,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur.

Ismail Sabri turut bergurau bahawa pilihan raya umum akan datang semakin hampir dari hari ke hari, tetapi enggan mengulas lanjut apabila diminta memberi tarikh.

“Tiada perdana menteri pernah bercakap mengenai tarikh pilihan raya secara terbuka. Ia boleh menyumbang kepada iklim politik yang tidak stabil. Apa yang kita tahu, hari demi hari, pilihan raya semakin hampir,” katanya menurut laporan media.

Ismail Sabri juga menegaskan bahawa negara hari ini stabil dari segi politik dan kerajaannya tidak perlu bimbang tentang terganggu daripada pemulihan ekonomi Malaysia, yang katanya adalah masalah global.

Beliau berkata tumpuan kini adalah untuk menangani inflasi.

Pada 9 Jun lalu, Zuraida mengumumkan keluar daripada Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). Beliau juga mengumumkan akan meletak jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Tawarannya untuk meletak jawatan mencetuskan perebutan politik untuk mencalonkan penggantinya dengan Muhyiddin berkata jawatan itu harus diberikan kepada Bersatu sebagai sebahagian daripada “kuota” parti pemerintah.

Sebelum ini, Agenda Daily melaporkan halangan kuat daripada UMNO mungkin menyebabkan Ismail Sabri tidak melantik mana-mana pemimpin Perikatan Nasional (PN), khususnya daripada Bersatu, untuk menggantikan tempat Zuraida.

Biarpun, hak melantik menteri adalah prerogatif Perdana Menteri, Ahli Parlimen Ampang itu dijangka dikekalkan jawatannya buat sementara waktu, lagi pula beliau telah menyatakan sokongannya kepada Ismail Sabri.

Sumber memberitahu Agenda Daily walaupun menyedari bahawa kuota jawatan menteri yang kini dipegang Zuraida adalah milik Bersatu, Ismail Sabri telah menyatakan tidak ada rombakan Kabinet akan dilakukan.

“Manakala Bersatu pula tidak dapat memberi tekanan kepada PM untuk menggantikan kuota menteri atau tempat Zuraida itu dengan ahli Bersatu yang lain.

“Bersatu juga tidak akan berbuat demikian kerana tindakan itu akan menyebabkan politik negara kembali bergolak, sekali gus memberi kesan negatif kepada PN.

“Malah, jika tindakan itu diambil, PM boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong menasihatkan baginda membubarkan Parlimen, sekali gus PRU-15 diadakan. Ini yang dikehendaki BN, tatkala kedudukan gabungan itu dikatakan semakin kuat dan boleh mencapai kemenangan besar,” katanya.

Sumber itu berkata jika keadaannya terlalu terdesak dan Ismail Sabri mempunyai alasan kukuh untuk rakyat mempercayainya, maka beliau boleh meminta Agong membubarkan Parlimen, walaupun baru-baru ini beliau membayangkan PRU-15 tidak akan disegerakan.

“Namun, dari sudut lain sekiranya Zuraida dikekalkan dan PM tidak diberi tekanan kuat oleh Bersatu, maka PRU-15 boleh ditangguhkan sehingga tamat penggal Parlimen tahun hadapan,” kata sumber itu.

Berita berkaitan
Sedarlah diri Anwar tiada sokongan majoriti nak jadi PM: Annuar
July 3, 2022· Politik
Tajuddin sokong Ismail Sabri jadi PM, beri amaran jangan main-main
July 3, 2022· Politik
Menteri Ekonomi Argentina letak jawatan selepas pinjaman IMF diluluskan
July 3, 2022· Dunia
Isu Zuraida, Muhyiddin sudah berjumpa PM dan berbincang
July 2, 2022· Politik
Popular
Lelaki bogel tunggang motosikal ditahan disyaki bunuh isteri, bayi
July 4, 2022
Mahkamah tolak permohonan Zahid tangguh prosiding kes rasuah
July 4, 2022
Shafee hidap laringitis: Kes Najib, laporan audit didengar 12 Ogos
July 4, 2022
Perbicaraan pengesahan lafaz cerai MB Perlis ditetapkan 25 Ogos
July 4, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Syed Saddiq arah keluar tunai RM1 juta dari bank: Saksi pendakwaan
4 jam lalu · Isu semasa
Lelaki bogel tunggang motosikal ditahan disyaki bunuh isteri, bayi
4 jam lalu · Isu semasa
Gempur kilang, sempadan sekat seleweng minyak masak subsidi: PM
5 jam lalu · Isu semasa
Maybank IB pula unjur OPR naik 100 bps untuk 12 bulan akan datang
5 jam lalu · Isu semasa
Aidiladha: Lebih 2.3 juta kenderaan bakal guna KLK, LPT pada 8-11 Julai
6 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tak serius, kerajaan ambil lewa isu harga barang, kata pemimpin Amanah
July 1, 2022
[FOTO] Himpunan bantahan kenaikan harga
July 1, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok