PM gesa rakyat bantu tangani inflasi, berkorban bantu golongan miskin

July 10, 2022 · Isu semasa

Aidiladha yang akan disambut esok di Malaysia mengajar umat Islam mensyukuri nikmat dikurniakan Allah SWT dan berkorban untuk membantu golongan memerlukan serta menginsafi nasib mereka yang lebih daif dengan melakukan kebajikan agar si miskin tidak terpinggir.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang dicetuskan beliau pada Ogos tahun lepas iaitu memastikan tidak ada Keluarga Malaysia yang ketinggalan, lapor Bernama.

Beliau berkata dalam mendepani cabaran ekonomi yang turut dihadapi seluruh dunia, kerajaan sedaya upaya berusaha menangani impak inflasi global termasuk menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang berperanan menyatukan semua kementerian dan agensi berkaitan bagi menyelesaikan kesulitan yang dihadapi Keluarga Malaysia dengan segera.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata kerajaan tidak dapat melakukannya sendirian sebaliknya memerlukan seluruh Keluarga Malaysia untuk sama-sama berganding bahu menangani cabaran itu.

“Ini adalah jihad kita bersama untuk memastikan ekonomi negara kembali pulih,” katanya dalam perutusan khas sempena Aidiladha 1443H yang bersiaran secara langsung di saluran televisyen tempatan malam ini.

Ismail Sabri berkata berbekalkan semangat pengorbanan yang diamalkan, Keluarga Malaysia mampu menjadikan tanah air kalis cabaran, kukuh dan terus maju dalam mendepani apa jua situasi dan cabaran mendatang.

Beliau berkata semangat toleransi yang berasaskan konsep Tasamuh dalam Islam turut menjadi antara elemen penting untuk mengekalkan perpaduan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Sikap berlapang dada membolehkan kita terus maju membangun dan mencegah diri daripada perbalahan yang hanya akan merugikan ummah.

“Nilai Tasamuh ini turut tersemat erat dalam urusan ibadah haji. Ia tidak membezakan status dan darjat sesama insan malah menggambarkan sebuah keluarga besar yang rukun, aman damai dan bersatu padu,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata kesanggupan berkorban harta kekayaan bagi membantu golongan daif adalah kebajikan yang diseru oleh Islam dan ia adalah simbol ketaatan, ketakwaan serta kehambaan kita kepada Maha Pencipta.

Ismail Sabri berkata perayaan Aidiladha yang berkait rapat dengan keinsafan, pengorbanan, kebersamaan dan kesyukuran memberi pengertian amat besar kepada umat Islam dalam meneruskan kehidupan lebih harmoni di sebalik pelbagai ketidaktentuan ketika ini,

Pada masa sama, beliau juga menyeru Keluarga Malaysia supaya mengetepikan perbezaan fahaman politik dan membuktikan keinsafan serta kesyukuran dengan bersama-sama meningkatkan martabat agama selain memupuk hubungan baik dengan rakan daripada keturunan dan agama lain.

Beliau turut mendoakan agar urusan lebih 14,000 jemaah Malaysia di Makkah dipermudah dan mereka dikurniakan haji mabrur.

“Di kesempatan ini, saya dan isteri serta seisi keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh Keluarga Malaysia yang beragama Islam walau di mana sahaja anda berada,” katanya.

Berita berkaitan
Sambutan Aidiladha pada 29 Jun
June 18, 2023· Isu semasa
RoS patut tangguhkan pemilihan UMNO, kata Naib Presiden
February 28, 2023· Politik
Saya ‘dilanyak’ parti sendiri masa jadi Perdana Menteri: Ismail Sabri
February 10, 2023· Politik
Ya saya berdiri… tapi Nur Jazlan tak faham kenyataan, kata Ismail Sabri
January 21, 2023· Politik
Popular
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
SPRM ambil keterangan kedua Menteri DAP: Laporan
April 19, 2023
Rumah, kereta mewah bernilai RM1.6 juta disita SPRM
September 26, 2021
Hina Islam: Penghantar makanan masuk penjara, gagal bayar denda RM50,000
July 21, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok