
Laporan berkaitan buku ditulis Tommy dinyahrahsia dan akan didedahkan kepada umum.
Perdana Menteri sementara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa jentera BN menggunakan laporan hasil siasatan buku bekas peguam negara, Tommy Thomas sebagai peluru untuk menyerang lawannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Beliau akui telah meminta menteri terlibat untuk menyiarkan laporan itu di laman web kerajaan.
“Saya dah beri peluru. Dalam kes Thomas, kita dedahkan kepada umum (laporan) jawatankuasa khas yang menyiasat. Saya dah beri peluru banyak.
“Saya minta menteri undang-undang supaya siarkan (laporan) di laman web mereka, perincian apa yang dilakukan, kesalahan yang dilakukan Tommy Thomas.
“Saya beritahu peguam negara ambil tindakan segera di bawah Akta Rahsia Rasmi, di bawah (pertuduhan) fitnah dan sebagainya,” katanya lapor Malaysiakini.
Tambahnya, “kalau (isu tersebut) sudah dibawa, jangan tinggal begitu saja. Kita kena manfaatkan isu ini untuk serang mereka.”
Tiga hari selepas Parlimen dibubarkan, Ismail Sabri mengumumkan kerajaan bersetuju untuk menyahklasifikasi dan mendedahkan kepada umum Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas buku memoir, “My Story: Justice in The Wilderness” tulisan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas.