
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan program eBelia secara maya hari ini.
Belia digesa merebut peluang yang ditawarkan kerajaan untuk meneroka inovasi dalam sektor pendigitalan negara dan menjadi pencetus idea seiring dengan perkembangan dunia teknologi sekarang ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan telah menyediakan pelbagai skim galakan yang dapat dimanfaatkan oleh golongan belia bagi menambah ilmu pengetahuan, berkomunikasi dan mencari peluang pekerjaan dan perniagaan.
“Kerajaan sentiasa menggalakkan belia untuk terus meneroka inovasi dan menjadi pencetus idea seiring dengan perkembangan teknologi terkini,” katanya melancarkan program eBelia secara maya hari ini, inisiatif Belanjawan 2021.
Beliau berkata, belia adalah generasi warga digital yang memainkan peranan sangat penting dalam memacu dan menjayakan usaha pendigitalan di dalam negara dan mereka bertuah kerana dapat memanfaatkan aplikasi digital yang banyak sekarang ini.
Katanya, kerajaan sentiasa menyokong rakyat dan perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mengendalikan perniagaan dalam era digitalisasi, dengan transaksi pembayaran dibuat secara online (dalam talian) atau tanpa tunai.
“Laporan Bank Negara Malaysia menunjukkan transaksi e-wallet pada tahun 2020 telah meningkat sebanyak 131 peratus kepada 600 juta transaksi… lebih banyak peniaga telah mendaftar untuk menerima pembayaran melalui QR Code, dengan bilangan pendaftaran meningkat lebih dua kali ganda pada akhir tahun lalu,” katanya.
Perdana Menteri berharap belia akan mengambil peluang melalui program eBelia itu untuk menyokong usahawan tempatan yang kebanyakannya adalah dalam kalangan belia sendiri.
“Sebagai warga digital, saya percaya saudara-saudari boleh mempelopori kaedah cashless payment (pembayaran tanpa tunai), sekali gus mendorong para peniaga lain untuk menggunakan kaedah pembayaran seperti ini,” katanya.
Beliau berkata Program eBelia itu telah ditambah baik melalui program PEMERKASA, dengan nilai kredit telah ditingkatkan daripada RM100 kepada RM150 bagi setiap penerima, yang akan dipadankan oleh penyedia e-dompet melalui pelbagai inisiatif tambahan seperti baucar, pulangan tunai dan mata ganjaran.
Muhyiddin berkata, dengan peruntukan berjumlah RM300 juta, program itu dijangka dapat memanfaatkan dua juta rakyat Malaysia yang berumur 18 ke 20 tahun serta pelajar institut pengajian tinggi sepenuh masa.
“Kerajaan telah menyediakan pelbagai peruntukan dana, termasuk yang berfokus kepada mendorong peniaga-peniaga menerapkan elemen digital di dalam operasi perniagaan masing-masing,” katanya contoh Dana Automasi dan Digital yang dikelolakan oleh Bank Negara.
Beliau berkata kerajaan telah mula menerapkan aspek digitalisasi dalam pelbagai urusannya, dengan sasaran pembayaran tanpa tunai bagi semua perkhidmatan kerajaan menjelang 2022, seiring dengan matlamat Belanjawan 2021 untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan awam.