PM bersyukur trend kemasukan pelabur asing terus meningkat

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersyukur walaupun negara terus berdepan pandemik Covid-19, tetapi syarikat asing kekal yakin terhadap masa depan ekonomi Malaysia susulan beberapa langkah yang diambil, termasuk pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Alhamdulillah, trend kemasukan berterusan pelaburan asing berimpak tinggi ini tentunya menyuntik lebih keyakinan dalam kalangan komuniti pelabur luar terhadap prospek pemulihan ekonomi Malaysia selari dengan aspirasi Pelan Pemulihan Negara.

“Ini pastinya akan membawa manfaat besar kepada masyarakat dari segi peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi beliau hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan mesyuarat secara maya dengan Presiden Syarikat Risen Energy Co. Ltd, Xie Jian yang turut disertai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman.

“Pagi ini, saya telah mengadakan mesyuarat secara maya bersama Encik Xie Jian, iaitu Pengerusi dan Presiden Syarikat Risen Energy Co. Ltd, sebuah syarikat pengeluar kelima terbesar dunia bagi penghasilan solar module,” katanya.

Perdana Menteri berkata syarikat berpangkalan di China itu bersetuju untuk melabur RM42.2 bilion di Malaysia bagi tempoh lima tahun, bermula tahun ini.

Katanya syarikat berkenaan melalui Risen Solar Technology Sdn Bhd mendapat kelulusan Lesen Pengilang dan Galakan Insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi aktiviti reka bentuk, pembangunan dan pengilangan sel serta modul solar.

Beliau memaklumkan, pelaburan itu dijangka menyediakan 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini, selain menjalinkan kerjasama dengan universiti dan institusi tempatan dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk pengambilan pelajar secara ‘internship’.

“Pelaburan daripada syarikat Risen Energy Co Ltd ini adalah satu kejayaan besar buat negara, sekali gus menunjukkan keupayaan pengurusan ekonomi Malaysia ketika dunia sedang bergelut dengan cabaran pandemik Covid-19.

“Saya juga yakin kehadiran Risen Solar Technology Sdn Bhd akan menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran berintegrasi bagi produk solar,” kata Perdana Menteri.

Perdana Menteri berkata ketika ini, terdapat beberapa syarikat pengeluar global solar yang sedang beroperasi di Malaysia seperti Jinko Solar, Longi Solar, JA Solar, Hanwha Q Cell, First Solar dan Sun Power.

Pada mesyuarat itu, Perdana Menteri turut memaklumkan kepada Xie Jian bahawa Malaysia sentiasa mengamalkan prinsip mesra pelaburan dan mengalu-alukan kemasukan pelaburan baharu serta berkualiti ke negara ini.

“Pelbagai galakan dan insentif disediakan kepada pelabur dan bakal pelabur, dan saya menegaskan akan memastikan pelaksanaan projek yang dirancang syarikat itu berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata, trend kemasukan berterusan pelaburan asing berimpak tinggi seumpama itu akan menyuntik lebih keyakinan dalam kalangan komuniti pelabur luar terhadap prospek pemulihan ekonomi Malaysia, selari dengan aspirasi Pelan Pemulihan Negara.

BERITA BERKAIT
POPULAR