PM beri jaminan usaha dilakukan elak nahas tren LRT berulang

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat mangsa nahas LRT di Hospital Kuala Lumpur, hari ini. - Gambar Facebook Perdana Menteri

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan usaha akan dilakukan bagi memastikan kejadian tren Transit Aliran Ringan (LRT) berlanggar tidak akan berulang pada masa depan.

“Sudah lebih 20 tahun, belum pernah ada LRT berlanggar sesama sendiri. Tetapi kerana kemalangan sudah berlaku, kita rasa sedih dan kita mahu ia disiasat.

“Dalam tempoh tidak berapa lama lagi kita akan dapat tahu apakah sebab musabab (nahas) berlaku,” katanya selepas melawat mangsa kemalangan itu dan keluarga mereka di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.

Memetik laporan agensi berita Bernama, Perdana Menteri berkata kerajaan bertanggungjawab memastikan insiden kemalangan tren itu tidak akan berulang pada masa akan datang.

Beliau berkata kerajaan memandang serius insiden dua tren LRT terbabit dalam kejadian itu dan akan memastikan nahas tersebut disiasat dengan teliti bagi mencari punca kejadian itu.

“Isu pelanggaran ini sudah pun sampai ke peringkat jawatankuasa khas yang telah dibentuk agar dapat disiasat sebab musabab bagaimana ia boleh berlaku,” katanya.

Dalam kejadian 8.45 malam itu, sebanyak 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan, apabila sebuah tren membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji, bertembung di dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata beliau telah mengarahkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong untuk memulihkan segera perkhidmatan LRT khususnya di kawasan kemalangan dan memastikan perkhidmatan itu sentiasa dijamin selamat.

“Kalau sudah selesai semuanya dan tiada lagi apa-apa bahaya, beliau (Wee) kata selepas beberapa hari ini, ia (perkhidmatan LRT) akan segera beroperasi balik,” katanya yang meminta orang ramai agar bersabar sekiranya berlaku kesulitan untuk menggunakan perkhidmatan LRT itu ketika ini, ekoran kemalangan tersebut.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata seramai tiga mangsa sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala dua menerima rawatan di wad biasa.

Katanya laporan doktor menunjukkan keadaan kesemua mangsa adalah stabil, di mana mereka yang berada di wad biasa akan discaj tidak berapa lama lagi.

“Mereka yang berada di ICU itu akan mengambil sedikit masa untuk pulih dan discaj. Saya mendoakan kesemua mereka akan cepat pulih dan balik ke pangkuan keluarga serta dapat teruskan tugas dan tanggungjawab kerja dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, beliau menziarahi mangsa sebelum bertemu dengan ahli keluarga kepada dua mangsa yang berada di ICU dan mendengar penerangan dari Pengarah HKL Datuk Dr Heric Corray dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Sementara itu, dalam pertemuan kira-kira enam minit dengan ahli keluarga mangsa, Muhyiddin melahirkan rasa sebak dengan kejadian terbabit dan memberi kata-kata perangsang untuk mereka.

“Doktor sentiasa ada dan akan take care for 24-hour… (menjaga sepanjang masa) doa banyak-banyak, moga cepat sembuh dan kembali sihat macam dulu,” katanya.

POPULAR