PM arah siasatan rapi, kenal pasti punca dua LRT berlanggar

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Pengangkutan dan Prasarana Malaysia Berhad menjalankan siasatan rapi untuk mengenal pasti punca kemalangan nahas dua tren Transit Aliran Ringan (LRT), malam tadi.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi, Perdana Menteri turut mengarahkan tindakan dan langkah lebih tegas diambil dengan segera bagi mengelak kejadian itu berulang.

“Saya telah dimaklumkan oleh YB Menteri Pengangkutan bahawa telah berlaku kemalangan yang melibatkan sebuah tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran stesen Kampung Baru.

“Saya difahamkan bahawa petugas-petugas keselamatan dan kecemasan sedang berada di tempat kejadian. Semoga kerja-kerja menyelamat dipermudah dan penumpang terlibat selamat, manakala mereka yang cedera diberikan rawatan segera,” katanya.

Beliau juga mengarahkan semua pihak berkaitan untuk memberi kerjasama penuh bagi memastikan mangsa mendapat rawatan menyeluruh memandangkan negara juga berada dalam gelombang pandemik Covid-19 yang sedang meningkat naik.

“Keutamaan sekarang harus diberikan kepada mangsa-mangsa kemalangan itu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam tadi, 47 penumpang cedera parah manakala 166 lagi cedera ringan setelah dua tren LRT berlanggar sesama sendiri berlanggar di dalam terowong antara stesen Kampung Baru dan KLCC.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komosioner Mohamad Zainal Abdullah ketika mengesahkan kejadian itu berkata, penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan beberapa hospital lain di Lembah Klang untuk rawatan lanjut.

Beliau mengesahkan terdapat 213 penumpang dalam tren yang berlanggar dengan sebuah tren lain di laluan berkenaan malam tadi.

BERITA BERKAIT
POPULAR