
Presiden Joko Widodo dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan MoU Penempatan dan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia di Malaysia di Jakarta pada 1 April lalu. - Gambar BPMI Sekretariat Presiden
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengarahkan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri menyelesaikan segera isu kemasukan pekerja asing dari Indonesia.
Menurutnya kebuntuan pekerja asing Indonesia perlu diselesaikan secepat mungkin untuk mengelakkan pertikaian lanjut.
Perdana Menteri berkata beliau telah mengarahkan kedua-dua kementerian itu untuk menyelesaikan perkara berkenaan dengan Indonesia sebelum ia menjadi lebih teruk.
“Saya tidak mahu perkara ini berpanjangan, kerana bimbang ia boleh menjejaskan hubungan kita dengan Indonesia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pemilikan Rumah (Harapan) dan Karnival Jom Beli Rumah di sini pada Jumaat (15 Julai).
Awal minggu ini, Indonesia berkata ia telah menghentikan sementara menghantar warganya bekerja di Malaysia, dengan alasan pelanggaran perjanjian pengambilan pekerja yang ditandatangani antara kedua-dua negara.
Semalam, Indonesia menyalahkan Malaysia kerana tidak menghormati memorandum persefahaman (MoU) kedua-dua negara berhubung pengambilan dan perlindungan pekerja negara itu, termasuk Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI).
Sehubungan itu, Indonesia menyerahkan kepada Malaysia sama ada mahu membatalkan MoU ditandatangani April lalu atau meneruskannya.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata MoU terbabit tidak dihormati, berikutan butiran dalam perjanjiannya tidak dipatuhi Malaysia.
“Perkaranya mudah sahaja, MoU yang ditandatangani wajar dihormati, lebih-lebih lagi membabitkan dua negara serumpun, malah segala maklumat dan butiran mengenai perjanjian dinyatakan dalam MoU berkenaan.
“Kalau tidak bersetuju dari awal sepatutnya tidak perlu diadakan MoU itu, tidak perlu ada majlis tandatangan, kerana ia seolah tidak menghormati Presiden Indonesia, Joko Widodo yang hadir menyaksikannya begitu juga Perdana Menteri Malaysia, yang perlu terbang hingga ke Jakarta pada akhirnya penjanjian dilanggari, ia hanya membuang masa.
“Kalau tidak bersetuju, terminate (batalkan) sahaja, boleh tulis surat untuk batalkan perjanjian itu, serah pada kedutaan dan kita akan sampaikan kepada pemerintah… itu tidak menjadi masalah,” kata Hermono.