PM akur keputusan UMNO tak mahu lagi MoU Transformasi dan Kestabilan Politik

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akur dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk tidak meneruskan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) selepas tamat pada 31 Julai ini.

Sebagai Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri berkata beliau tertakluk kepada keputusan yang dibuat MT UMNO, lapor Bernama.

Semalam MT UMNO memutuskan MoU antara kerajaan Persekutuan dan PH yang berakhir 31 Julai ini, tidak diteruskan lagi.

Pada 13 September 2021, kerajaan memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani Ismail Sabri bersama ketua-ketua parti PH iaitu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP ketika itu Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

“Semalam (14 April) keputusan dah dibuat iaitu sampai 31 Julai dan setakat semalam MT mengatakan tidak perlu sambung MoU ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Coopmart dan Coop Community Mart (CCM) Koperasi Pudina Putrajaya Bhd, di sini hari ini.

“Kalau ada perubahan apa-apa, MT akan bincang semula,” tambah Ismail Sabri.

MoU itu antaranya merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Pada 10 Mac lepas, Ahli Jawatankuasa Rundingan dan Pelaksana MoU tersebut, Anthony Loke dilaporkan berkata pembangkang bersedia meneruskan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik dengan kerajaan Persekutuan selepas 31 Julai.

Beliau yang kini Setiausaha Agung DAP berkata pembangkang tiada masalah untuk meneruskan MoU itu, lebih-lebih lagi selepas pindaan Perlembagaan berkaitan undang-undang antilompat parti diluluskan nanti.

BERITA BERKAIT
POPULAR