PM akui kelemahan, urus banjir libatkan Pusat dan negeri

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mahu menyalahkan sesiapa susulan dakwaan berlakunya kelemahan pengurusan banjir terutama di Selangor, sebaliknya berkata ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Namun, beliau berkata tanggungjawab pengurusan banjir bukan setakat Kerajaan Persekutuan sahaja, tetapi melibatkan kerajaan negeri dan pihak berkaitan di setiap daerah.

“Saya tidak menafikan (kelemahan) dan akan menambah baik pada masa akan datang… Tanggungjawab banjir bukan setakat kerajaan Persekutuan tetapi kerajaan negeri dan frontliners adalah daerah-daerah.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hanya koordinator… kalau dianggap kelemahan koordinasi saya tidak membela sesiapa dalam keadaan begini, bagi saya semua perlu dipertanggungjawabkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Dewan Besar D’Sury, Kuala Klawang, hari ini.

Menurutnya, Selangor tidak pernah berdepan banjir besar dan berlaku dalam jangka waktu yang cepat.

Katanya, mengikut prosedur operasi standard (SOP), pusat operasi bencana seharusnya dibuka sebaik ada mangsa walaupun dari sebuah rumah dipindahkan namun di Selangor ia berlaku serentak membabitkan daerah seperti Petaling, Shah Alam dan Klang.

“Jumlah hujan di Selangor sepatutnya bagi tempoh sebulan namun serentak seluruh negeri dalam tempoh sehari. Aset seperti milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kebiasaan digerakkan ketika hujan biasa saja.

“Biarpun amaran hujan sudah dikeluarkan namun jangkaan taburan hujan yang banyak tidak ada dalam pemikiran penduduk ketika itu,” katanya.

Perdana Menteri memberi contoh seperti penduduk di Taman Sri Muda, Shah Alam, mereka sudah biasa banjir namun tidak menyangka air naik begitu cepat.

“Faktor itu menyebabkan berlaku keadaan kelam-kabut pada hari pertama pengurusan banjir di Selangor.

“Saya mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyelamatkan mangsa di sana namun ketika usaha menyelamat dilakukan, tempat tinggal mangsa sudah tidak dapat dikesan dan itu masalah awal dihadapi.

“Ada orang ramai yang mengadu mengenai mengenai masalah kelewatan dihadapi dan kita tidak menyalahkan mereka,” katanya.

Beliau berkata, pada hari pertama seluruh Shah Alam, Klang mengalami kesesakan dan usaha menghantar makanan ke kawasan bencana tidak boleh dilalui.

“Saya tidak menafikan berlaku kelewatan namun ia disebabkan pelbagai faktor selain aset seperti milik ATM digunakan di negeri lain,” katanya.

Ismail Sabri turut mengarahkan kerja-kerja pembaikan jalan raya akibat tanah runtuh di Bukit Tangga, Jelebu, Negeri Sembilan dilakukan dengan cepat bagi membolehkan akses jalan raya dapat dilalui antara Seremban-Jelebu.

“Jalan utama ini digunakan oleh ramai rakyat untuk ke bandar utama. Kita tidak mahu aktiviti harian rakyat tersekat,” katanya.

Ahad lalu, media melaporkan berlaku kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Tangga menghala Jelebu, susulan hujan lebat.

BERITA BERKAIT
POPULAR