PM akan umum diskaun bil elektrik tiga bulan mulai Julai

Kerajaan setuju memberi diskaun bil elektrik selama tiga bulan mulai Julai hingga September.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan diskaun bil elektrik tiga bulan mulai Julai hingga September secara bersasar bagi pengguna domestik dan bukan domestik, dalam masa terdekat.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata kerajaan bersetuju memberi diskaun itu selepas memahami kesulitan rakyat akibat pandemik Covid-19 sekarang ini.

Pada masa sama beliau berkata golongan miskin tegar dengan pendapatan RM1,169 ke bawah yang berdaftar di dalam Sistem e-Kasih adalah layak mendapat rebat bil elektrik RM40.

“Sehingga Mei 2021, jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) yang layak ialah 282,182. Bagaimanapun, hanya 113,745 atau 40.31 peratus daripada KIR yang layak telah mengemas kini nombor akaun bil elektrik mereka.

“Oleh itu, saya menyeru agar mereka yang layak untuk mengemas kini nombor akaun dengan pihak utiliti bagi membolehkan mereka menikmati rebat bil elektrik berkenaan,” katanya pada sidang media maya hari ini.

Katanya, kerajaan juga bersetuju memberi rebat elektrik 2 sen/kWj kepada pengguna bukan domestik di Kulim High Technology Park (KHTP) yang mendapat bekalan elektrik daripada NUR Power Sdn Bhd mulai bulan depan hingga 31 Disember.

Tiada kenaikan tarif asas elektrik bagi tempoh 1 Julai sehingga 31 Disember setelah kerajaan bersetuju membiayai pemberian rebat sebanyak dua sen/kWj, melibatkan peruntukan RM493 juta melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE), yang akan membolehkan semua pemilik akaun TNB menikmati purata diskaun sebanyak lima peratus sepanjang tempoh itu.

“Kerajaan berbuat demikian dengan mengambil kira cabaran dan kesukaran yang dihadapi rakyat berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Ini kali pertama pengguna bukan domestik di KHTP menikmati rebat elektrik sejak mekanisme penetapan tarif Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) dilaksanakan pada 2017.

“Pemberian rebat ini dilaksanakan berikutan penurunan harga bahan api gas dan bekalan elektrik pukal TNB pada separuh pertama 2021 serta penjimatan daripada pelarasan kos sebenar bahan api bagi Julai hingga Disember 2020,” katanya.

Shamsul Anuar berkata pemberian rebat melalui peruntukan dana KWIE itu menjadikan tarif asas elektrik kekal pada kadar 39.45 sen/kWj dan dianggarkan seramai 9.44 juta pengguna akan terus menikmati rebat tersebut.

Katanya selaras dengan pelaksanaan mekanisme penetapan tarif elektrik di Semenanjung yang dilaksanakan sejak 2014, pelarasan kos penjanaan elektrik perlu dilaksana setiap enam bulan melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) dan bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Dis 2021, kos ICPT perlu diselaraskan berjumlah RM638.98 juta.

POPULAR