PKPD: Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah ditutup

Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah ditutup mulai 19 Mei 2021 hingga 1 Jun 2021. - Gambar Twitter

Jabatan Laut Malaysia menutup sementara terminal feri penumpang Kuala Kedah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah Kota Setar yang berkuat kuasa esok hingga 1 Jun.

Dalam satu kenyataan hari ini jabatan itu berkata, susulan penutupan itu tidak ada perkhidmatan feri penumpang dari dan ke Kuala Kedah serta Pulau Langkawi dalam tempoh berkenaan.

“PKPD yang melarang semua jenis pergerakan keluar dan masuk ke lokasi terlibat boleh menyebabkan perkhidmatan feri penumpang dihentkkan sepenuhnya.

“Oleh demikian, Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah di bawah seliaan Jabatan Laut Malaysia akan ditutup sepanjang tempoh PKPD ini,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, perkhidmatan kargo antara Kuala Kedah ke Langkawi masih diteruskan.

“Perkhidmatan perlu mod pengangkutan laut masih mempunyai alternatif menggunakan feri RORO di Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis yang tidak terbasuk sebagai lokaliti PKPD,” kata Jabatan Laut.

Jabatan Laut Malaysia sentiasa mendukung hasrat kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 ini dan akan memastikan prosedur operasi standard sepanjang perjalanan dan keselamatan penumpang sentiasa terkawal dan terjaga.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD akan dilaksanakan selama dua minggu di 28 mukim di daerah Kota Setar, Kedah bermula esok, susulan peningkatan kes COVID-19 di kawasan tersebut.

POPULAR